GURUN: Cubaan seorang lelaki warga Nepal melarikan kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di hadapan sebuah kedai roti canai di Pekan Jeniang, dekat sini, hari ini gagal apabila dia ditahan orang awam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, anggota Pondok Polis Jeniang, menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 7.20 pagi tadi.

"Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku di tepi jalan, di hadapan kedai roti canai itu. Ketika itu, bapa mangsa meninggalkannya di atas motosikal untuk mengambil tempahan roti canai.

"Suspek kemudian dipercayai meluru ke arah mangsa dan mendukungnya sebelum mengundur beberapa langkah sambil mengacukan pisau ke arah leher kanak-kanak terbabit.

"Suspek turut bercakap dalam bahasa tidak difahami dipercayai bahasa Nepal, seperti meminta wang untuk makan kepada bapa mangsa yang berada di hadapan suspek ketika itu.

"Bapa mangsa cuba menenangkan mangsa sambil memujuk supaya suspek menyerahkan semula mangsa.

"Ketika suspek leka, orang awam yang turut menyaksikan kejadian itu berjaya menarik tangan suspek dari arah belakang dan terus menangkapnya. Mangsa akhirnya berjaya diselamatkan, dan suspek diserahkan kepada polis," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zaidy berkata, hasil semakan mendapati, satu laporan polis telah dibuat oleh majikan suspek 8 November lalu mengatakan suspek melarikan diri diri.

Beliau berkata, siasatan awal yang dilakukan, suspek masuk ke negara ini untuk bekerja di sebuah kilang di Sungai Lalang, di sini sejak sebulan lalu.

"Suspek dipercayai melarikan diri akibat tekanan kerja. Soal siasat awal juga mendapati, motif suspek bertindak demikian kerana terlalu tertekan dan berada dalam keadaan kelaparan ketika kejadian kerana sudah beberapa hari tidak makan," katanya.

Zaidy berkata, sebilah pisau turut dirampas untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.