MALAYSIA
Lelaki Pakistan didakwa liwat, amang seksual dan merompak

Pendakwaan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Seorang lelaki warga Pakistan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lima pertuduhan membabitkan liwat, amang seksual dan rompak terhadap dua kanak-kanak dan dua remaja lelaki antara April dan Jun lepas.
Muhammad Hassan, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Urdu.
Lelaki itu didakwa atas dua pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap remaja lelaki berusia 19 tahun dan 15 tahun tanpa kerelaannya pada 26 Jun dan 18 Mei di kawasan berhampiran Seksyen 27 Shah Alam, masing-masing pada 10.05 malam dan 1.30 tengah hari.
Pendakwaan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.Muhammad juga didakwa merompak wang tunai berjumlah RM230 milik remaja berusia 19 tahun itu pada tempat dan waktu yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu juga didakwa melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak lelaki berusia lapan dan 13 tahun sekitar Mei dan Jun lepas, di sekitar kawasan Seksyen 27, mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.
Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal dan Ruthra Raj Selvarajoo manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Nurul Sofea tidak menawarkan sebarang jaminan, manakala Muhammad menerusi jurubahasa merayu supaya mahkamah melantik peguam bagi pihaknya, memandangkan beliau tidak mempunyai kenalan atau keluarga yang berada di Malaysia, selain tidak mengetahui proses untuk lantikan peguam kerana ditahan di penjara.
Hakim Norazlin Othman kemudiannya menetapkan 23 Sept untuk penyerahan dokumen dan lantikan peguam.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami