Lelaki sembur beruk dengan pewarna dicari

Rahimah Abdullah
September 23, 2020 08:26 MYT
Kali ini, seekor beruk pula 'dibuli' seorang lelaki yang identitinya belum dikenal pasti. - Foto: Facebook Malaysia Animal Crime Transparency
Penderaan demi penderaan dilakukan manusia terhadap haiwan, dan di negara ini setiap kali perbuatan itu dirakam dan ditularkan, masyarakat secara umum tidak akan menyebelahi pelakunya.
Kali ini, tular video tentang seekor haiwan dipercayai jenis beruk yang 'dibuli' oleh seorang lelaki yang identitinya belum dikenal pasti.
Rakaman video itu didedahkan melalui Facebook Malaysia Animal Crime Transparency hari ini.
Dalam video berdurasi lebih satu minit itu menunjukkan aksi seorang lelaki menarik sebuah sangkar yang mengurung seekor beruk di dalamnya.
Dia kemudian bertindak menyembur beruk itu dengan bahan cat warna tanpa tujuan yang tidak diketahui kewajarannya.
Rakaman itu juga jelas menunjukkan beruk itu meronta-ronta dalam sangkar berkenaan.
Aksi tersebut dirakam seorang individu lain dan turut disaksikan beberapa orang yang berada di kawasan itu.
Bagaimanapun, lokasi kejadian belum dapat dipastikan.
Dalam pada itu, Penganalisis Jenayah Haiwan Malaysia (MyAct) mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan individu tersebut kepada haiwan berkenaan.
"Kes semburan ke atas monyet, kera atau beruk yang ditangkap penduduk kerana kacau ganggu merupakan satu jenayah dan ini bukan pertama kali berlaku. Tahun ini juga saya kira empat kes berlaku. Terbaru di Johor.
"Video itu merupakan satu perbuatan yang tidak baik dari segi etika," katanya semasa ditemui Astro AWANI di sini pada Rabu.
Tindakan individu berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
Justeru mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh membuat aduan kepada MyAct dan pihak berwajib.
BACA: Mana belas ihsan? Video lelaki hempas kucing tular di media sosial
#Astro #Astro Awani #beruk disembur #dera haiwan #Facebook #haiwan liar #jenayah #kekejaman ke atas haiwan #lelaki #Malaysia #video