MALAYSIA

Lelaki serang ibu bapa guna pedang samurai diarah jalani pemeriksaan mental

Abd Razak Mohd Ali 02/01/2026 | 03:50 MYT
Muhammad Aiman yang hadir ke Mahkamah Sesyen Ipoh dengan memakai pakaian hospital mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa. - Foto Astro AWANI
IPOH: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan lelaki yang didakwa mencederakan ibu bapanya menggunakan pedang samurai dalam kejadian di Bandar Baru Putra, Bercham minggu lalu, menjalani pemeriksaan psikiatri.


Ringkasan AI
  • Lelaki yang didakwa cederakan ibu bapa dengan pedang samurai di Bandar Baru Putra menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta mengikut arahan Mahkamah Sesyen.
  • Tertuduh, Muhammad Aiman Suhaimi, 30 tahun, didakwa menyebabkan kecederaan parah kepada ibu bapa menggunakan pedang samurai dalam kejadian di Kinta.
  • Pihak pendakwaan memohon lelaki itu dirujuk untuk pemeriksaan mental, sementara ibu bapa tertuduh masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.


Hakim Ainul Shahrin Mohamad memerintahkan tertuduh, Muhammad Aiman Suhaimi, 30, dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Terdahulu, Muhammad Aiman yang memakai pakaian hospital mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah kepada bapanya, Suhaimi Dawi, 58, dan ibu, Shahaliza Ahmad Hashim, 58, dengan menggunakan pedang samurai.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Persiaran Putra, Bandar Baru Putra dalam daerah Kinta pada pukul 6.30 pagi, 26 Dis 2025.

Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya M Raveenaa memberitahu mahkamah bahawa ibu bapa tertuduh yang cedera dalam kejadian itu masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Menurutnya, tertuduh selepas kejadian telah memanjat bumbung rumah sebelum menjerit dengan laungan "Allahu akbar".

Pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh dan memohon mahkamah merujuk lelaki itu ke HBUK bagi menjalani pemeriksaan mental.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan 31 Jan depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Sebelum ini, media melaporkan suspek yang dipercayai mengalami masalah mental itu ditahan pihak polis selepas mencederakan ibu bapanya menggunakan pedang samurai dalam kejadian amuk di Persiaran Putra, Bandar Baru Putra.

Berdasarkan siasatan, suspek mendakwa tidak sedarkan diri ketika bertindak demikian selain memberitahu yang dia berasa dikejar hantu semasa kejadian berlaku.

Hasil semakan pihak polis mendapati, lelaki terbabit mempunyai rekod rawatan kesihatan mental dan dia pernah menerima rawatan di sebuah hospital psikiatri sebelum ini.



#serang ibu bapa #pedang samurai #Hospital Bahagia #pemeriksaan mental