Lelaki ditahan disyaki mengamuk, cederakan ahli keluarga di Bandar Baru Putra

Siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod rawatan kesihatan mental dan pernah menerima rawatan di sebuah hospital psikiatri sebelum ini.
IPOH: Seorang lelaki tempatan ditahan polis kerana disyaki mengamuk dan mencederakan dua ahli keluarganya di sebuah rumah di Persiaran Putra, Bandar Baru Putra di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata pihaknya telah menerima satu panggilan kecemasan melalui talian 999 pada 6.41 pagi Jumaat berkaitan kejadian itu, sebelum sepasukan anggota polis diarahkan ke lokasi kejadian bagi tindakan lanjut.
Beliau berkata siasatan awal mendapati, suspek disyaki telah mencederakan dua orang ahli keluarganya dan melarikan diri dengan memanjat tembok dan bumbung rumah, sebelum memasuki sebuah rumah jiran berhampiran.
"Suspek kemudiannya berjaya dikesan dan ditahan pihak polis di lokasi berkenaan, tanpa sebarang kejadian tidak diingini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat malam.
Abang Zainal berkata, kedua-dua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini bagi mendapatkan rawatan lanjut dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod rawatan kesihatan mental dan pernah menerima rawatan di sebuah hospital psikiatri sebelum ini.
"Bagaimanapun, siasatan terperinci masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, kerana menyebabkan cedera parah menggunakan senjata berbahaya," katanya.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan, serta sentiasa bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan maklumat sahih.
"PDRM (Polis Diraja Malaysia) Daerah Ipoh akan terus memantau perkembangan kes ini dan tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


