SEREMBAN: Seorang lelaki berusia 52 tahun mengaku tertembak mati rakannya semasa memburu di kawasan hutan berhampiran Muka Sauk, Kuala Klawang, Jelebu pada 24 April lepas.

Ketua Polis Daerah Jelebu, DSP Maslan Udin berkata lelaki berkenaan menyerah diri di Balai Polis Titi pada 8.30 malam hari yang sama dan memaklumkan tertembak rakannya berusia 61 tahun.

"Kejadian berlaku awal pagi 24 April, dan siasatan polis mendapati suspek dan mangsa telah masuk ke kawasan hutan tersebut dengan membawa senjata api buatan sendiri bagi tujuan memburu.

"Semasa sedang memburu, suspek telah melepaskan tembakan kepada mangsa yang disangkanya seekor kijang. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata tangkapan dibuat ke atas suspek dan merampas selaras senjata api disyaki buatan sendiri serta beberapa butir peluru hidup dan kelongsong peluru.

Lelaki berkenaan direman enam hari hingga 30 April untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.

-- BERNAMA