PUCHONG:Seorang lelaki warga emas ditemukan mati dalam sebuah kereta di tempat letak kenderaan di Merab, Puchong Jaya malam tadi.

Mayat dijumpai seorang wanita sekitar 8.15 malam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata mangsa warga tempatan berusia lingkungan 60-an itu dijumpai sudah tidak bernyawa oleh pihak berkuasa.

"Siasatan awal mendapati tiada sebarang kecederaan pada badan mangsa.

"Siasatan terus jalankan di kawasan persekitaran tempat kejadian, namun tiada sebarang senjata yang kita jumpa, tiada sebarang alat ataupun objek yang boleh mendatangkan sebarang kecederaan pada mangsa.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk ujian saringan COVID-19 sebelum dilakukan post-mortem," kata Razali.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Balai Polis Puchong Jaya di talian 03-8075 2222.