Hasil kreativiti dan inovasi pasangan suami isteri mentransformasi makanan tradisi yang ditambah nilai, kini membuahkan hasil, selepas ia menjadi salah satu makanan wajib cuba sekiranya berkunjung ke daerah di Negeri Sembilan ini.

Malah, produk makanan yang dikenali sebagai lemang sushi itu kini mampu menarik pelancong dalam dan luar negara, sekali gus membawa limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.

Pengusahanya, Zuriati Sulaiman, 52 tahun, berkata lemang sushi merupakan cetusan idea suaminya Azizi Abd Muin, 55 tahun, empat tahun lalu selepas menjual serunding sejak 2005 lagi.

"Proses pembuatannya agak sedikit berbeza berbanding kaedah tradisional kerana tidak menggunakan buluh namun masih mengekalkan santan dan beras pulut sebagai bahan asli.

"Kami masih menggunakan daun pisang untuk membalut lemang dan kemudian ia dibakar menggunakan mesin ketuhar yang diubahsuai supaya dapat memasukkan inti di tengah lemang berkenaan," katanya ketika ditemui di Pusat Pertanian Ampang Tinggi Tanjong Ipoh, di sini.



Hasil inovasi produk makanan tradisional itu, pasangan berkenaan kini memperoleh keuntungan berlipat-ganda terutamanya ketika tiba musim perayaaan.

Malah, kata Zuriati produk lemang sushi satu-satunya di Malaysia itu kini telah mendapat permintaan seluruh negara dan pihaknya dalam proses untuk memperkenalkan makanan tradisi berkenaan ke luar negara.

"Terdapat beberapa jenis lemang sushi yang berintikan Durian Musang King, D24, ikan bilis, serunding, rendang ayam serta daging dan kesemuanya disejuk bekukan agar tahan lama.

"Proses penghasilan lemang sushi itu memakan masa selama lima jam dan dalam masa seminggu, sebanyak 800 hingga 1,000 batang lemang sushi dapat dihasilkan," jelas beliau.

Bagaimanapun, katanya, masyarakat seringkali keliru mengenai nama 'lemang sushi' itu kerana ramai yang menyangka ia gabungan antara lemang dan sushi.

Namun sebenarnya, bentuk juadah itu sahaja yang apabila dipotong kelihatan seperti sushi, sedangkan resepinya tidak menggunakan sebarang bahan membuat sushi.

Usahawan berasal dari Kuala Pilah itu juga berkata, kini lemang sushi telah dikenali ramai membuatkan kilang menghasilkan produk itu menjadi salah satu tempat wajib dikunjungi pelancong yang datang ke Kuala Pilah untuk membeli makanan tradisi itu.

Zuriati juga berharap agar perniagaannya dapat dikembangkan ke peringkat lebih tinggi dan menyeru usahawan kecil dan sederhana seluruh negara untuk menggunakan kreativiti agar produk atau perkhidmatan yang dihasilkan kekal relevan pada masa akan datang.