MELAKA: Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Isnin menetapkan 26 April depan sebagai tarikh serahan dokumen bagi kes kanak-kanak maut dipercayai akibat didera ibu kandung dan bapa tirinya di sebuah rumah di Taman Krubong Jaya di sini.

Keputusan itu dibuat selepas mendengar permohonan timbalan pendakwa raya selepas pasangan suami isteri iaitu Zuraida Atan, 32, dan Mohd Fadzli Abdul Razak, 38, dihadapkan ke mahkamah berkenaan pada pagi Isnin, lapor Sinar Harian hari ini.

Ia bagi menunggu keputusan bedah siasat yang dijalankan ke atas mangsa yang berusia 7 tahun.

Prosiding dijalankan di mahkamah berasingan di hadapan Hakim Elesabet Paya dan Nariman Badruddin.

Pasangan suami isteri itu secara berasingan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kesalahan Kanak- Kanak 2001 kerana mendedahkan mangsa dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal atau membenarkannya dianiaya, diabaikan atau didedahkan sedemikian.

BACA: Lemas dalam tong: Pasangan suami isteri didakwa bunuh, dera 'Adik Amir'

Mereka didakwa secara bersama-sama menyebabkan kematian mangsa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Prosiding itu dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Anis Wahidah Mohamad, Mazuin Hashim dan Intan Lyiana Zainal Abidin.

Dalam kejadian pada 30 Januari lalu, kanak-kanak berkenaan ditemui mati dalam sebuah tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya di sini dengan kesan cedera dan lebam di beberapa anggota badan.

Kes dera | Sepasang suami isteri didakwa bunuh, dera anak

Pada 10 Februari lalu, pasangan suami isteri berkenaan dituduh atas pertuduhan sama mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.