Lembaga Zakat Selangor beri penjelasan isu lelaki hilang kerja, hampir bercerai

Madiha Abdullah
Februari 14, 2017 15:40 MYT
Pusat zakat juga perlu mengikut SOP tertentu apabila mahu mengagihkan bantuan.
APABILA tersebarnya kisah seorang lelaki yang kehilangan pekerjaan sehingga terpaksa berdepan kemungkinan kehilangan isteri dan anaknya, antara pihak yang paling terkesan adalah pusat zakat.
Ini kerana melalui cerita berkenaan, masyarakat dimaklumkan bahawa lelaki berkenaan ada meminta bantuan zakat kerana keadaan kewangannya yang sudah ke tahap kritikal sehingga tidak mampu membeli sekampit beras untuk keluarga.
Namun, dakwa lelaki itu, permohonannya ditolak atas alasan pemberian zakat adalah mengikut nama penerima yang sudah tersenarai.
Lantas, institusi zakat menjadi mangsa kritikan bertubi-tubi masyarakat yang tidak faham mengapa keadaan itu berlaku.
Astro AWANI menghubungi Abdul Basith Hamid, Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Lembaga Zakat Selangor, untuk memperjelaskan situasi ini.
Menurut beliau, Lembaga Zakat Selangor khususnya, menerima banyak permohonan bantuan zakat kecemasan setiap hari.
Pun begitu, dari keseluruhan kes permohonan zakat kecemasan yang dibuat, 98 peratus akan ditunaikan manakala hanya dua peratus ditolak.
Kebiasaannya, kes yang ditolak adalah melibatkan beberapa isu, antaranya pemohon di bawah pengaruh dadah dan alkohol, pemohon merupakan lelaki sihat dan tiada tanggungan.
Namun jika sekalipun permohonan ditolak, pemohon tetap akan dibekalkan dengan wang bantuan saku.
"Biasanya kita tak akan biarkan dia pergi begitu sahaja. Dia akan tetap dibantu, sekurang-kurangnya wang untuk dia makan hari itu," kata Abdul Basith.
Mengulas situasi yang dialami lelaki berkenaan, kata Abdul Basith, dia tidak pasti apa sebenarnya berlaku kerana tiada maklumat yang sahih diperolehi, namun ada kemungkinan ia terjadi kerana salah faham dan isu komunikasi.
Ini kerana, berdasarkan pengalamannya, pemohon yang ditolak permohonannya, kebiasaannya akan terus beredar tanpa memperjelaskan situasi yang melanda dirinya.
"Apabila diberitahu nama dia tiada dalam senarai penerima, dia akan terus beredar. Mungkin malu untuk bercerita. Sedangkan kalau dia ceritakan situasi masalahnya yang benar-benar terdesak dan memerlukan wang, kami pasti akan bantu.
"Dalam banyak situasi, kami akan terus hantar wakil ke rumah pemohon, dan jika benar dia memerlukan bantuan, RM300 akan terus diberikan," jelas Abdul Basith.
Dan jika pemohon didapati dalam golongan asnaf, dia akan diminta memfailkan permohonan untuk membolehkan dia menerima bantuan secara berkala.
Dalam pada itu, Abdul Basith juga berharap orang ramai, agar berhati-hati dalam usaha mereka untuk memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan.
"Kami puji usaha masyarakat memberi bantuan tapi dalam masa yang sama, perlu berhati-hati kerana sudah banyak kes sebelum ini, di mana tabung bantuan diwujudkan, namun si penerima terbukti bukan dalam kalangan yang memerlukan," ujarnya.
Orang ramai, khususnya penduduk Selangor, boleh menghantar 'private message' atau PM ke laman Facebook Lembaga Zakat Selangor untuk membuat laporan atau aduan berkenaan kes asnaf atau mereka yang tidak berkemampuan.
#asnaf #Lembaga Zakat Selangor #TheUsopIbrahim #viral #zakat