KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpendapat Lembah Klang kini sudah boleh beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) susulan kadar vaksinasi yang telah melebihi 80 peratus.

Bagaimanapun, katanya, ia akan diputuskan dalam perbincangan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 bersama barisan kabinet yang akan dipengerusikannya nanti.

"Syabas Lembah Klang kerana kadar vaksinasi cemerlang yang sudah mencapai lebih 80%!

"Dengan ini saya berpendapat bahawa Lembah Klang sudah boleh beralih ke fasa seterusnya," katanya dalam catatan di Facebook beliau hari ini.  

"Once again I am so proud of everyone involved and this remarkable achievement," tambahnya.

Vaksin COVID-19 | Lembah Klang bersedia beralih ke Fasa 2 - PM

BACA: KKM, MOSTI diarah pastikan kadar vaksinasi enam negeri capai 50 peratus sebelum akhir September

Semalam, Ismail Sabri berkata kadar lengkap vaksinasi bagi populasi dewasa di Lembah Klang telah mencecah 89.5 peratus.

 
Sumber Facebook ismailsabri60

Terdahulu, beliau mengumumkan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi diberi tempoh sehingga akhir September untuk memastikan enam negeri mencapai kadar vaksinasi COVID-19 sebanyak 50 peratus bagi populasi dewasa.

Enam negeri yang mencatatkan vaksinasi kurang 50 peratus adalah Perak (46.5 peratus), Terengganu (46.2 peratus), Johor (44.9 peratus), Kedah (43.2 peratus), Kelantan (43.1 peratus) dan Sabah (37.1 peratus), setakat 28 Ogos.

"Saya mahu sebelum akhir September semua enam negeri ini kadar vaksinasi telah melebihi 50 peratus (untuk populasi dewasa), tak mahu ada negeri yang kurang daripada itu," katanya.