IPOH: Lenggong Geopark disasar dinobat sebagai Taman Geologi Global Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Geopelancongan Lenggong Geopark Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata pihaknya optimis dalam hal ini berdasarkan penemuan artifak bertaraf antarabangsa di taman geologi itu.

"Lenggong Geopark menyimpan bukti kejadian penting iaitu hentaman meteorit yang berlaku pada 1.83 juta tahun yang lampau serta letusan Volkano Toba di Sumatera (Indonesia) kira-kira 75,000 tahun yang lalu.

"Kedua-dua bukti ini berlaku di Lenggong dan saya yakin nilai warisan bertaraf antarabangsa ini mampu menobatkan Lenggong Geopark sebagai Taman Geologi Global UNESCO selepas Langkawi dan Gunung Kinabalu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Penutupan Seminar Lenggong Geopark 2023 di sini pada Jumaat yang turut dihadiri lebih 100 peserta terdiri daripada penjawat awam, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan dan pelajar universiti.

Lenggong Geopark, yang berkeluasan 2,068 kilometer persegi, telah diiktiraf sebagai Taman Geologi Kebangsaan pada 16 Disember 2021 kerana menyimpan pelbagai khazanah ketamadunan manusia, nilai warisan dan bentuk muka bumi menarik seperti di Gua Kajang, Gua Teluk Kelawar dan Gunung Pulut.

Shamsul Anuar juga berkata, kertas cadangan mengenai pembinaan pusat penyelidikan di taman geologi itu akan dibentang kepada Kerajaan Negeri Perak bagi memastikan pembangunannya dapat dilaksana dalam masa terdekat.

Beliau berkata kewujudan pusat itu akan membolehkan penyelidik dari dalam dan luar negara melakukan kajian secara terperinci berkaitan Lenggong Geopark.

"Kita berhasrat mewujudkan pusat ini supaya setiap kajian yang dibuat dapat didokumen serta dipaparkan kepada masyarakat sebagai rujukan dan ia bukan hanya mampu menarik kedatangan pelancong bahkan dengan kajian ilmiah yang dibuat, khususnya terhadap flora dan fauna di Lenggong Geopark, berpotensi memberi impak serta nilai kepada pembangunan," katanya.

Shamsul Anuar berkata pihaknya juga dalam perancangan membina kemudahan atau prasarana di beberapa lokasi yang dilihat berpotensi menjadi tumpuan pelancong sempena Tahun Melawat Perak 2024.

"Perkara ini kita belum boleh hebahkan secara terperinci kerana apabila kita buat (hebahkan), prasarana tak lengkap maka ia akan bagi impak negatif kepada pelbagai pihak," katanya.

-- BERNAMA