IPOH: Lenggong, di Hulu Perak melakar sejarah sebagai satu-satunya kawasan di Semenanjung yang memegang dua status pengiktirafan antarabangsa Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) selepas diisytiharkan secara rasmi sebagai Lenggong UNESCO Global Geopark.
Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Lenggong Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata pengiktirafan terbaharu itu melengkapkan profil kawasan berkenaan yang sebelum ini menerima status Lenggong Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2012, sekali gus meletakkan nama Malaysia dan Perak di persada pelancongan antarabangsa.
Advertisement
"Setelah menerima status UNESCO Global Geopark dan sebelum itu menerima status Tapak Warisan Dunia UNESCO, menjadikan Lenggong antara kawasan yang menerima dua status bertaraf dunia.
"Di Semenanjung Malaysia, Lenggong satu satunya kawasan yang menerima dua status tersebut," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini.
Beliau berkata Lenggong Geopark menerima secara rasmi status sebagai Lenggong UNESCO Global Geopark dalam satu majlis di Ibu Pejabat UNESCO di Paris, Perancis pada 3.20 petang (9.20 malam waktu Malaysia) semalam.
Pada majlis itu, Shamsul Anuar memaklumkan beliau bersama Badan Pengurusan Lenggong Geopark mengiringi Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad untuk menerima pengiktirafan status berkenaan.
Beliau berkata Lenggong sebelum ini diwartakan sebagai Geopark Kebangsaan pada 16 Dis 2021 kerana nilai geologinya yang luar biasa, biodiversiti yang kaya serta warisan budaya yang sangat unik.
“Lenggong UNESCO Global Geopark melambangkan sebuah landskap penting yang menggabungkan keindahan alam semula jadi dengan kepentingan sejarah. Ia merangkumi pelbagai ciri semula jadi seperti tasik, sungai, gunung serta tapak arkeologi yang berkait rapat dengan sejarah awal tamadun manusia.
"Elemen ini menjadikan Lenggong sebuah lokasi penting bukan sahaja untuk pelancongan malah bagi penyelidikan saintifik bertaraf antarabangsa dan penting kepada dunia," katanya.
Shamsul Anuar yang juga Pengerusi Geokomuniti Lenggong Geopark berkata pencapaian itu akan memberikan impak besar kepada kawasan berkenaan selain Perak dan Malaysia khususnya dalam sektor pelancongan.
Beliau berkata usaha mempromosi Lenggong UNESCO Global Geopark akan dilakukan melalui Majlis Pelancongan Lenggong, selain mempergiatkan penglibatan komuniti dalam bidang usahawan pelancongan menerusi Jawatankuasa Geokomuniti Lenggong Geopark.
"Banyak program yang kita telah, sedang dan akan lakukan antaranya Geoschool Lenggong Geopark, Geoentrepreneur, Bangsawan Lembah Lenggong serta acara Lenggong Dialog 2026.
"Paling utama saya akan fokus menjadikan kawasan ini sebagai pusat pendidikan terbuka dan kita telah lakukan langkah awal melalui lawatan akademik pada Mac lepas yang dianjurkan Majlis Pelancongan Lenggong bersama Badan Pengurusan Lenggong Geopark," katanya.
Pada 2 April lepas, Badan Pengurusan Lenggong Geopark juga telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi penubuhan Pusat Geoteknologi Geopark UTM, iaitu langkah awal memperkukuh peranan kawasan berkenaan sebagai hab ilmu dan penyelidikan.
Selain itu, Shamsul Anuar turut berharap kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan membantu membangunkan infrastruktur pelancongan kawasan itu.
-- BERNAMA