KOTA BHARU: Empat anggota keselamatan Thailand cedera apabila terkena letupan bom yang dipercayai diletakkan oleh penjenayah di Kampung Pasemas, Sungai Golok, Thailand, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sungai Golok Pol. Col. Jadsadavit Inprapan berkata kejadian berlaku pada pukul 12.05 tengah malam, semasa anggota berkenaan dalam perjalanan bagi melaksanakan tugas-tugas keselamatan di pekan Sungai Golok dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Beliau berkata polis syak penjenayah telah menanam bom di laluan kenderaan anggota keselamatan berkenaan.

"Ketika tiba di simpang tiga berdekatan pangkalan, telah berlaku satu letupan dan penyerang turut menembak menggunakan pistol. Anggota keselamatan membalas tembakan itu sebelum penyerang kemudiannya melarikan diri," katanya kepada Bernama hari ini.

Empat anggota yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Hospital Sungai Golok bagi mendapatkan rawatan.

Jadsadavit berkata hasil siasatan awal di tempat kejadian polis menemukan sebuah kenderaan model sedan berwarna putih yang mempunyai nombor plat negara jiran.

Beliau berkata susulan kejadian pihak keselamatan Thailand memperketatkan kawalan di sempadan bagi mengelak pergerakan penjenayah secara bebas di sekitar kawasan itu.

Pagi tadi Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memberitahu bahawa polis telah meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand susulan insiden letupan bom dan bunyi tembakan yang dipercayai datang dari sekitar kawasan Gualosira, Pasemas Daerah Sungai Golok, Wilayah Narathiwat awal hari ini.

Sementara itu Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun mengesahkan letupan bom dan bunyi tembakan berkenaan merupakan kejadian yang melibatkan pasukan keselamatan negara Thailand dengan penyerang di negara itu sahaja, tanpa mebabitkan rakyat Malaysia.

Beliau berkata insiden letupan itu berlaku hampir dengan sempadan Malaysia-Thailand, dan beliau telah mengarahkan polis daerah Pasir Mas yang berhampiran kawasan itu membuat risikan berhubung kejadian.

"Selain itu, polis Kelantan juga meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan terutama di sekitar kawasan Kampung Tersang dan Jeram Perdah, Pasir Mas susulan kejadian itu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini.

-- BERNAMA