IPOH: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, susulan insiden letupan mesin dandang sebuah kilang di Temoh.

Pengarah JKKP Perak, Zamzurin Maarof, mengulas tentang insiden yang menyebabkan tiga mangsa cedera itu, berkata pihaknya memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam.

Menurutnya, majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja.

Katanya, majikan juga bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat analisis risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

“Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan.

“Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kemalangan kira-kira jam 10.40 pagi semalam, tiga pekerja sebuah kilang memproses batu kuari melecur di bahagian tangan dan muka.

Susulan itu, Zamzurin bersama sepasukan pegawai penyiasat telah menjalankan siasatan terhadap kes tersebut pada petang Isnin.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati dandang jenis ‘thermal oil heater’ yang sedang dalam proses start-up untuk beroperasi telah meletup dan mengakibatkan kerosakan pada bahagian pintu dan sebahagian daripada komponen relau berkenaan.

“Letupan telah menyebabkan ‘burner’ tercabut dari kedudukan ia dipasang,” ujarnya.

Susulan dari siasatan awal yang dijalankan, kata Zamzurin, pihaknya telah mengarahkan aktiviti penyelenggaraan dihentikan serta-merta sehingga siasatan lanjut dijalankan dan cadangan tindakan penambahbaikan dilakukan oleh majikan.