MALAYSIA
Letupan paip gas Putra Heights: Kerajaan Selangor nafi layanan tidak adil bantuan baik pulih rumah - Amirudin

Amirudin pada Isnin memberikan penjelasan mengenai status baik pulih rumah di Putra Heights dan Kampung Sungai Baru yang terkesan akibat letupan paip gas. - fotoBERNAMA
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor menafikan dakwaan terdapat layanan tidak adil dalam pemberian bantuan pembaikan rumah kepada mangsa letupan saluran paip gas di Putra Heights dan Kampung Kuala Sungai Baru.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjelaskan bahawa jumlah bantuan yang diberikan bergantung sepenuhnya kepada tahap kerosakan kediaman dan bukannya lokasi insiden semata-mata.
“Memang kita ada tiga kategori bantuan rumah iaitu rosak teruk hingga RM300,000, pembaikan sederhana RM60,000 dan satu lagi kategori di antara dua tahap tersebut.
“Kalau rumah itu cuma rosak sedikit, walaupun terletak di Putra Heights harga siling tetap RM60,000. Jadi kalau ada dakwaan kononnya siling di Putra Heights lebih tinggi berbanding Kampung Kuala Sungai Baru, itu tanggapan liar,” jelas Amirudin sekaligus menolak dakwaan bahawa berlaku ketidakadilan dalam pemberian bantuan kepada penduduk yang terjejas. Beliau memberikan penjelasan tersebut ketika menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) Selangor anjuran bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Shah Alam, Selangor pada Isnin.
Amirudin turut memaklumkan bahawa mengikut laporan terkini oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), kerja-kerja pembaikan di Kampung Kuala Sungai Baru menunjukkan kemajuan lebih pesat berbanding di Putra Heights yang hanya mencapai sekitar 22 hingga 24 peratus tahap siap setakat ini.
“Saya telah nyatakan dalam Sidang DUN bahawa projek dijangka siap pada Oktober. Namun, kita bersedia menyemak semula jadual tersebut sekiranya terdapat aduan kelewatan,” katanya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan rungutan daripada Pertubuhan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru yang berharap kerajaan menyemak semula kadar siling kos baik pulih rumah selepas mendakwa berlaku perbezaan jumlah bantuan – RM60,000 di Putra Heights dan hanya RM30,000 di kawasan mereka.
Mengulas tentang bantuan sewaan rumah kepada mangsa, Amirudin turut memaklumkan bahawa bayaran akan diteruskan untuk tempoh enam bulan, di mana tiga bulan pertama telah pun disalurkan manakala baki akan dibayar selepas pengesahan nama penerima selesai dibuat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami