KUALA LUMPUR: Budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bukan hanya bertentangan dengan agama, moral dan budaya Malaysia malah bertentangan dengan undang-undang negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, kegiatan itu bukan sahaja salah dari aspek undang-undang jenayah Syariah bahkan dari aspek undang-undang Sivil juga.

Tegasnya, di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan, adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana orang yang melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan fitrah.

“Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengambil inisiatif dengan membangunkan Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) 2019-2025 bagi menangani gejala sosial dalam kalangan masyarakat.

“Ia terutamanya permasalahan sosial yang dihadapi masyarakat Islam di Malaysia yang semakin meruncing, dengan pelbagai isu seperti penagihan dadah, remaja hamil (tidak berkahwin), pembuangan bayi, perceraian dan gelandangan.

“Masalah lain pula adalah seperti penularan virus HIV / AIDS, penagihan arak, seks bebas, sumbang mahram, jenayah juvana, pengamalan gaya hidup songsang dan sebagainya,” katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan PTSI juga mendukung kepada Dasar Sosial Negara di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Khamis bagi menjawab soalan Che Alias Che Hamid (Pas - Kemaman) yang bertanya rancangan kerajaan menggubal suatu dasar khusus bagi membasmi penularan budaya LGBT yang semakin menular dalam negara.

Tambah beliau, kerajaan sentiasa memandang serius dengan isu berkaitan LGBT yang semakin membimbangkan mutakhir ini.

“Kerajaan melalui mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menegaskan dalam kenyataan beliau pada 16 Jun 2019 di Cambridge Union, United Kingdom bahawa Malaysia bertegas tidak akan mengalah kepada sebarang tekanan untuk menerima amalan songsang di kalangan rakyat negara ini, terutamanya yang melibatkan unsur LGBT.

“Beliau juga menegaskan bahawa Malaysia seharusnya berpegang teguh kepada nilai-nilai moral berlandaskan adat, budaya dan agama yang sekian lama diterapkan di kalangan masyarakat tempatan.

“Justeru, kerajaan berharap agar isu sosial melibatkan golongan LGBT ini dapat diberikan perhatian oleh semua pihak termasuk NGO dan masyarakat awam,” ujarnya.