KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kini fokus mengesan aktiviti perniagaan tidak berdaftar dikendalikan warga asing, termasuk mengenal pasti rakyat tempatan yang berselindung di sebalik kegiatan haram itu kerana menjadi penyumbang kepada kehilangan hasil negara.

Ia susulan kegagalan kumpulan berkenaan melakukan pelaporan cukai yang akan mengakibatkan negara berdepan kerugian daripada ekonomi bayangan.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Abu Tariq Jamaluddin berkata, kes-kes ekonomi bayangan telah mewujudkan kesan yang besar terhadap jurang cukai di Malaysia.

Sedangkan menurutnya, warga asing yang menjana pendapatan di negara ini wajar menyumbang kepada hasil negara setelah dapat menikmati kemudahan infrastruktur, pembangunan dan keselamatan disediakan kerajaan.

"Tumpuan khusus LHDN berkaitan ekonomi bayangan ini ialah terhadap warga asing yang menjalankan aktiviti perniagaan atas nama sendiri atau rakyat tempatan.

"Jadi kita akan pastikan bukan sahaja warga asing itu sendiri, tetapi orang di belakang mereka juga disiasat sama ada mereka mematuhi undang-undang percukaian.

"Jika terdapat cukai yang gagal dilaporkan oleh kumpulan ini, penalti yang setimpal akan dikenakan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Sesi Libat Urus Bersama Media di sini pada Khamis.

Tahun lalu, media melaporkan negara dianggarkan kehilangan kira-kira RM70 bilion setiap tahun dalam bentuk hasil cukai daripada aktiviti perniagaan yang tidak didaftarkan dan kegiatan haram, dikenali sebagai ekonomi bayangan.

Laporan Tinjauan Ekonomi 2021 dikeluarkan Kementerian Kewangan (MoF) menganggarkan saiz ekonomi bayangan Malaysia secara purata 33.7 peratus daripada KDNK antara 1990 hingga 2019.

Sehubungan itu, Abu Tariq menambah, program turun padang bagi menyiasat termasuk melalui pendekatan penerangan mengenai cukai akan dilaksanakan kumpulan sasar.

Selain itu, katanya, LHDN juga memandang serius ketirisan cukai disebabkan oleh aktiviti antara syarikat yang berkaitan.

Justeru, transaksi rentas sempadan termasuk juga transaksi dengan entiti Labuan akan diberi tumpuan.

"Amnya, tidak menjadi kesalahan untuk syarikat membuat perancangan cukai, walau bagaimanapun jika sesuatu transaksi tidak mempunyai manfaat lain selain percukaian, semakan semula layanan cukai terhadap transaksi tersebut akan dilaksanakan LHDN," katanya.

Tegas beliau lagi, LHDN juga akan mengambil tindakan kepada institusi, organisasi dan tabung yang mendapat status pengecualian di bawah Seksyen 44(6) ACP sekiranya telah tamat tempoh dan tidak mempunyai kelulusan pengecualian.

"Tindakan pendakwaan juga akan diambil jika wujud unsur penyelewengan dana oleh organisasi seperti menggunakan dana kutipan untuk kepentingan peribadi dan bukan seperti yang dimaksudkan," katanya. - Sinar Harian