KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) melalui Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 memberi peluang kepada pembayar cukai untuk tampil secara sukarela bagi melaporkan pendapatan dan pengiraan cukai yang tepat dan teratur selaras dengan ketetapan LHDN.

Menurut Pengarah Jabatan Resolusi Pertikaian LHDN, Norhanadia Samsudin, melalui PKPS 2.0 ini, pembayar cukai akan menikmati tawaran penalti atau surcaj pada kadar 0 peratus yang bermakna tiada penalti atau surcaj yang akan dikenakan sekiranya mereka melaporkan pendapatan menerusi program khas pengakuan sukarela ini.

“Jadi, pembayar cukai adalah disarankan mengambil peluang untuk menyertai PKPS 2.0 ini, bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan penguatkuasaan audit sedia ada yang mana pengenaan penalti adalah berdasarkan Rangka Kerja Audit Cukai yang sedang berkuat kuasa,”jelasnya.

Kata Norhanadia, pembayar cukai hendaklah menjelaskan bayaran cukai secara sekali gus dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis atau secara ansuran berdasarkan aturan bayaran ansuran yang dipersetujui sehingga 31 Mei 2024 tanpa perlu mengemukakan dokumen sokongan.

“Permohonan aturan bayaran ansuran perlu dikemukakan melalui pautan PKPS 2.0 di Portal Rasmi LHDNM atau MyTax dengan menggunakan Borang Permohonan Bayaran Ansuran PKPS 2.0.

“Memandangkan pembayar cukai yang menyertai PKPS 2.0 ini boleh memohon bayaran ansuran sehingga 31 Mei 2024, adalah dinasihatkan untuk mereka rebut tawaran ini sekarang bagi mengurangkan komitmen bayaran ansuran setiap bulan,“ katanya.

Tambah Norhanadia, jika pembayar cukai memilih untuk lapor pada saat-saat akhir, bayaran ansuran cukai yang perlu dibayar setiap bulan juga adalah tinggi kerana semakin dekat dengan tarikh akhir tempoh pelaksanaan PKPS 2.0, semakin tinggi bayaran ansuran cukai perlu dibayar.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual dalam program AWANI Pagi pada Jumaat.

Tempoh pelaksanaan PKPS 2.0 telah bermula pada 6 Jun 2023 yang lalu dan akan berakhir pada 31 Mei 2024.

PKPS 2.0 ini ditawarkan kepada semua kategori pembayar cukai kecuali bagi kategori fail majikan.