Libatkan penyedia latihan dalam perbincangan dasar, pembangunan TVET - Yayasan Mahir

Sri Ganes berkata, kehadiran wakil industri latihan dalam struktur perundingan nasional penting bagi memastikan setiap inisiatif TVET mengambil kira aspek praktikal seperti kandungan latihan, kos pelaksanaan, keperluan teknologi semasa. - Foto SGC
KUALA LUMPUR: Yayasan Mahir Malaysia berharap agar wakil penyedia latihan, sama ada daripada institusi awam mahupun swasta, dapat dilibatkan dalam perbincangan dasar, jawatankuasa perundingan serta pembangunan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di peringkat nasional.
Presidennya, Datuk P Sri Ganes berkata, penyedia latihan merupakan komponen teras dalam ekosistem TVET kerana berada di barisan hadapan pelaksanaan latihan, selain memainkan peranan penting dalam membentuk kebolehpasaran pelatih selaras dengan keperluan sebenar industri.
Beliau yakin kepimpinan baharu di bawah pimpinan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan dapat memperkukuh hala tuju strategik negara dalam membangunkan ekosistem TVET, latihan industri dan pembangunan modal insan yang inklusif, progresif serta berimpak tinggi.
"Yayasan Mahir Malaysia sentiasa teguh menyokong agenda Reformasi TVET Nasional di bawah kepimpinan Ramanan serta mengiktiraf peranan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), TalentCorp dan penyedia latihan sebagai tonggak utama ekosistem kemahiran negara," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Mengulas lanjut, Sri Ganes berkata, kehadiran wakil industri latihan dalam struktur perundingan nasional penting bagi memastikan setiap inisiatif TVET mengambil kira aspek praktikal seperti kandungan latihan, kos pelaksanaan, keperluan teknologi semasa serta tahap kesiapsiagaan pelatih untuk memasuki pasaran kerja.
"Penglibatan secara formal ini akan membantu kerajaan merangka dasar TVET yang lebih berimpak, realistik dan mampan, sekali gus memastikan pelaburan besar dalam sektor kemahiran benar-benar memberi pulangan sosial dan ekonomi," jelasnya lagi.
Sri Ganes menegaskan, pengiktirafan terhadap peranan penyedia latihan sebagai rakan strategik adalah selari dengan aspirasi reformasi TVET nasional yang menekankan kebolehpasaran, peralihan tenaga kerja dan pembangunan kemahiran bernilai tinggi.
Pada masa sama, Sri Ganes sekali lagi menegaskan masa depan TVET negara memerlukan kerjasama awam-swasta yang kukuh antara industri, agensi kerajaan dan institusi latihan bagi memastikan pembangunan kemahiran berjalan secara bersepadu dan berimpak tinggi.
"Fokus perlu diberikan kepada peralihan pekerja yang terkesan oleh automasi, pemberdayaan lepasan sekolah supaya TVET menjadi pilihan utama, serta pelaksanaan program TVET bernilai tinggi yang melahirkan tenaga kerja berteknologi dan berinovasi," tambahnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


