JUARA Liga Super 2015, Johor Darul Ta’zim (JDT) gagal untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Asia selepas tewas kepada Muathong United menerusi sepakan penalti.

Pada aksi kelayakan kedua ACL itu di Stadium Thunderdome, Nonthaburi, pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan selepas masa tambahan.
Penjaga gol Muangthong Kawin Thamsatchanan menjadi wira buat pasukan dari Thailand itu apabila menidakkan 3 sepakan penalti Jorge Diaz, Marcos Antonio dan Hariss Harun.

Tiga jaringan skuad kendalian Totchtawan Sripan disempurnakan oleh Cleiton Augusto, Peerapat Notchaiya dan Sarach Yooyen.

Farizal Marlias juga melakukan beberapa tampanan ketika perlawanan berlangsung untuk memastikan mereka tidak bolos pada waktu permainan, namun gagal untuk mengulanginya ketika sepakan penalti.

Menurut laman sosial Johor Southern Tigers, pengendali pasukan Mario Gomez memuji semangat juang pemainnya selepas beraksi habis-habisan dalam usaha untuk layak ke kejohanan berprestij itu.

"Saya amat gembira dengan persembahan para pemain pada malam ini. Kita bermain di tempat lawan menentang pasukan yang sangat berpengalaman," kata Mario.

"Malam ini bukan penamat pejuangan kita. Kita masih mempunyai masa yang panjang untuk musim ini dan kami akan terus memberikan tumpuan sepanjang musim ini. Terima kasih kepada semua peminat atas sokongan padu anda.

Untuk rekod, skuad Harimau Selatan mencipta sejarah menjadi pasukan pertama dari Asia Tenggara muncul juara Piala AFC tahun lepas, selepas mengalahkan Istiklol dari Tajikistan 1-0 pada perlawanan akhir.

The Southern Tigers kini akan menyertai Selangor dalam cabaran Piala AFC sekaligus untuk mempertahankan gelaran mereka sebagai juara musim lalu.