Lihat pangkat yang terlibat, indikasi isu besar di MINDEF - Azam Baki

Azam berkata, beliau akan mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pertahanan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan bagi membincangkan isu perolehan di MINDEF. - Gambar Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengalu-alukan langkah Kementerian Pertahanan (MINDEF) yang merancang rombakan besar-besaran melibatkan aspek tadbir urus, khususnya berkaitan salah guna kuasa dan isu perolehan.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, inisiatif berkenaan merupakan satu perkembangan positif yang telah lama dinantikan, selari usaha memperkukuh integriti serta mengekang ketirisan dalam sektor pertahanan negara.
“Itu bagus, ini satu kenyataan yang amat saya alu-alukan. Saya secara peribadi memang menunggu kenyataan seperti itu daripada pihak kerajaan.
"Ini satu perkara jelas disebutkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Peranan kami selepas ini, mungkin dalam tempoh terdekat atau minggu hadapan, saya akan mengadakan kunjungan hormat kepada beliau dan juga Ketua Setiausaha MINDEF.
"Kunjungan ini bagi membincangkan dengan lebih lanjut tentang isu perolehan di MINDEF, kita perlu lihat dengan teliti berdasarkan kes kita sedang siasat ketika ini," jelas Azam.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dan HELP University serta Pelancaran Siri Forum Tadbir Urus dan Integriti 2026, di sini, hari ini.
Tambah Azam, SPRM juga akan meneliti terlebih dahulu isu pokok di dalam MINDEF yang perlu 'dibersihkan.'
"Kami bukan terus menyerahkan (input siasatan SPRM) kepada MINDEF, kami perlu melihat juga apa isu di dalam MINDEF ini.
"Kita tidak boleh lihat hanya isu yang kita siasat sekarang, tetapi mungkin beberapa isu sedia ada dalam MINDEF, yang ini kita perlu lihat tentang pembersihan di dalam MINDEF.
"Ini perkara-perkara tentang isu peraturan, prosedur, ketirisan yang menjadi kembimbangan SPRM bagi pihak rakyat," kata Azam.
Ujarnya lagi, isu penyelewengan di dalam MINDEF sudah berakar umbi berdasarkan indikasi tertentu
"Nak bayangkan betapa besarnya isu dalam MINDEF ini, lihat sahaja pangkat yang terlibat, ia sememangnya besar.
"Persoalan adakah terdapat ramai lagi pegawai yang terlibat, itu saya akan maklumkan dalam sidang media pada 15 Januari nanti," ujarnya.
Setakat ini, seorang bekas Panglima Tentera Darat (PTD) masih direman sehingga 14 Januari bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah membabitkan perolehan tender.
Selain itu, pada Isnin, seorang pegawai kanan tentera hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi memberikan keterangan berhubung dakwaan kes rasuah terbaharu membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Seterusnya, Mohamed Khaled dalam Perutusan Tahun Baharu 2026 di Wisma Perwira memaklumkan semua proses tender dan perolehan akan disemak semula.
Tegasnya, rasuah menafikan hak Malaysia untuk memiliki aset pertahanan yang berkualiti, selain mengancam keselamatan anggota tentera, menyebabkan pembaziran serta ketidakcekapan, dan akhirnya menjejaskan keberkesanan agensi pertahanan negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


