Peguam Negara Tommy Thomas tidak campur tangan dalam pengambilan keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan kes rasuah terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon tetapi keputusan itu dibuat oleh Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Pejabat Peguam Negara (AGC) Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

Mohamad Hanafiah dalam satu kenyataan media pada Selasa berkata jelas dinyatakan dalam kenyataan akhbar bersama yang dikeluarkan pada 2 Ogos 2018 oleh Peguam Cara Negara Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek dan Peguam Cara Negara II Datin Paduka Zauyah Be T. Loth Khan, bahawa Thomas telah menarik diri daripada semua perbincangan berkaitan kes itu.

Oleh yang demikian, Mohamad Hanafiah berkata beliau bertanggungjawab untuk membuat keputusan terhadap representasi yang dikemukakan oleh Lim dan Phang memandangkan beliau tidak terlibat dalam apa cara sekali pun dalam kes itu sebelum ini.

"Justeru, saya boleh mempertimbangkan perkara itu dalam perspektif baharu dan setelah diserahkan tanggungjawab itu, saya telah meneliti keterangan-keterangan daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bukti yang dikemukakan dan telah diuji.

"Dan hasil daripada soal balas ke atas saksi-saksi pendakwa setakat ini, bukti yang menyokong pertuduhan pertama di bawah Seksyen 23 Akta SPRM dan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan telah dilemahkan secara substantif.

"Kesimpulan itu diperoleh berdasarkan keterangan baharu hasil daripada pemeriksaan balas terhadap saksi-saki pendakwaan.

"Selepas membuat kesimpulan itu, saya berpendapat saya tidak akan dapat menunaikan tanggungjawab saya sebagai Timbalan Pendakwa Raya untuk membiarkan kes ini diteruskan selepas mengetahui bahawa kes terhadap kedua-dua Lim dan Phang tidak akan berjaya di akhir kes pendakwaan.

"Justeru, saya mengambil keputusan untuk mengemukakan 'nolle prosequi' (memberhentikan pendakwaan) terhadap kedua-duanya, Lim dan Phang, mengikut Seksyen 254 Kanun Acara Jenayah (CPC)," kata beliau.

Mohamad Hanafiah menjelaskan bahawa pada 7.18 pagi Isnin, beliau telah menyampaikan keputusannya itu kepada Datuk Masri Mohd Daud, yang juga Pengarah Bahagian Undang-Undang dan Pendakwaan SPRM yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes itu.

Katanya walaupun pihak pendakwaan telah memohon kepada mahkamah satu perintah pelepasan tanpa pembebasan, mahkamah telah mengeluarkan perintah untuk melepas dan membebaskan mereka berikutan permohonan daripada peguam bela-peguam bela Lim dan Phang, mengikut Seksyen 254(3) Kanun Keseksaan.

"Saya ingin mengulangi bahawa tindakan untuk mengemukakan 'nolle prosequi' bukanlah satu perkara pelik. Tindakan itu telah diamalkan dalam banyak kes selepas menerima permohonan daripada peguam dan selepas ditemui bukti baharu atau bukti-bukti dilemahkan semasa pemeriksaan balas.

"Sama halnya dalam kes Lim dan Phang, terdapat keterangan baharu yang tidak diambil kira sebelum ini. Perlu ditegaskan bahawa keputusan sama ada meneruskan pendakwaan atau memberhentikannya adalah prerogatif dan kuasa Pendakwa Raya.

"Dalam kes ini, saya merahsiakan keputusan saya sehingga ke saat akhir dan tidak membincangkannya dengan agensi penyiasat kerana bimbang rahsia itu mungkin bocor dan menyebabkan kebimbangan yang tidak wajar.

"Malah, saya merahsiakannya sehinggakan saya baru sahaja memaklumkan keputusan itu kepada Peguam Negara pada pukul 9.44 pagi semalam (Isnin)," kata beliau.

Beliau berkata beliau juga ingin menegaskan bahawa beliau telah membuat keputusan itu tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Mohamad Hanafiah menambah, beliau malah menerima sepucuk surat daripada firma guaman yang mewakili pengadu dalam kes itu, yang membantah apa-apa fikiran untuk menarik balik pendakwaan dalam kes Lim dan Phang itu.

"Saya telah menjawab surat itu bahawa saya akan membuat keputusan berdasarkan bukti-bukti yang ada dan mengikut apa yang diperuntukkan oleh undang-undang, dan itulah yang telah saya lakukan tanpa berasa takut atau berpihak. Keutamaan saya adalah keadilan," kata beliau.

Pada Isnin, Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Datuk Hadhariah Syed Ismail Hakim melepaskan dan membebaskan Lim, 58 dan Phang, 46 berikutan permohonan peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Lim, dan Datuk V.Sithambaram serta Hisyam Teh Poh yang mewakili Phang.

Hadhariah berkata beliau tidak bersetuju dengan permohonan pihak pendakwaan supaya pertuduhan itu ditarik balik dan kedua-dua tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

DNAA bermakna pihak pendakwaan boleh meneruskan pertuduhan yang sama terhadap tertuduh.

BACA: Guan Eng, Li Koon bebas: 'Saya pun terkejut juga' - Tun M

BACA: SPRM terkejut mahkamah bebaskan Guan Eng


Bagi pertuduhan pertama, Lim didakwa menggunakan kedudukannya sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya dan isteri Betty Chew Gek Cheng, meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Beliau didakwa melakukan kesalahan tersebut ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar, George Town di sini pada 18 Julai 2014.

Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Lim juga menghadapi pertuduhan kedua iaitu menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan bagi dirinya satu lot tanah dan sebuah banglo di No 25, Jalan Pinhorn, George Town pada 28 Julai, 2015 daripada Phang pada harga RM2.8 juta, harga yang beliau dakwa beliau tahu tidak sepadan dengan nilai pasaran hartanah berkenaan ketika itu iaitu RM4.27 juta.

Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Phang pula didakwa bersubahat dengan Lim dalam mendapatkan banglo berkenaan pada harga bawah nilai sebenar.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat dan pada tarikh sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama-sama Seksyen 165, memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA