Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Ibrahim digesa untuk menubuhkan pasukan khas dalam menyiasat cubaan yang mencetuskan konflik kebencian terhadap kaum dan agama yang tercetus kebelakangan ini.

Penasihat Parti DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan media memberitahu lebih dari 15 laporan polis dibuat di seluruh negara berhubung dengan insiden dan ugutan jenayah yang dilakukan terhadap Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok namun masih tiada sebarang tindakan yang diambil oleh polis.

“Ini termasuk juga ugutan jenayah untuk mencetuskan rusuhan seperti rusuhan 13 Mei yang mana ianya dilakukan oleh 30 orang yang berdemonstrasi pada Khamis lalu. Identiti mereka ini merupakan sesuatu yang memalukan dan diberi publisiti secara meluas di media elektronik termasuk juga blog-blog pro-UMNO tetapi tiada usaha dari polis untuk menahan atau menyoal suspek-suspek ini,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh yang memberitahu Malaysian Insiders bahawa polis hanya akan memulakan siasatan setelah Teresa dan beberapa orang lagi tampil untuk membuat laporan polis.

“Walaupun terdapat kehadiran polis ketika demonstrasi itu dilakukan, tiada apa-apa pun tindakan pihak polis terhadap perkara tersebut untuk memulakan siasatan,”.

Kit Siang memberitahu bahawa Mohmad menegaskan bahawa ini merupakan operasi ‘standard’ yang mereka lakukan dan tiada pilih kasih dalam soal ini. Tindakan polis adalah sama tanpa mengira sesiapa pun yang membuat laporan.

“Ini merupakan sesuatu yang mengarut malah Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar merupakan seorang yang dilihat gagal melihat apa yang sebenarnya terjadi dimana dua minggu sebelum Tahun Baru, Khalid mengumumkan bahawa ada cubaan untuk menggulingkan kerajaan pada malam Tahun Baru,”.

Sebaliknya, kenyataanya itu hanyalah andaian semata malah Khalid gagal membuktikan bukti-bukti yang mendakwa bahawa adanya cubaan untuk menggulingkan kerajaan.

“Jika polis mampu menubuhkan sebuah pasukan khas untuk menyiasat “dakwaan” untuk menggulingkan kerajaan itu, jadi tiada soalnya jikalau polis untuk menyiasat cubaan-cubaan yang cuba mencetuskan kebencian terhadap kaum dan agama kerana ianya melibatkan keselamatan negara,” katanya.