KUCHING:Lima barangan keperluan elektronik utama dipantau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak menerusi Ops Catut 8.0.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, A. Mogan berkata, lima barangan elektronik utama itu adalah komputer riba, komputer, tablet, mesin pencetak dan telefon pintar.

Menurutnya, Ops Catut 8.0 yang dilaksanakan itu juga bagi memastikan peranti elektronik dijual pada harga siling ditetapkan susulan peningkatan permintaan ke atas barangan tersebut.

"Kita telah melaksanakan Ops Catut 8.0 ke atas kelengkapan elektronik dan alat komunikasi.

"Sepanjang pemeriksaan sejak 25 Januari lalu, 19 notis pemberitahuan telah diberikan kepada peniaga untuk mendapatkan penyata harga dan tidak berlaku kenaikan harga," katanya selepas melakukan pemeriksaan Ops Catut 8.0 di Kuching pada Khamis.

Tambah Mogan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan elektronik itu.

Malah, hukuman berat menanti pihak peniaga yang menaikkan barang keperluan tersebut sesuka hati.

"Bagi pertubuhan perbadanan denda tidak melebihi RM500,000 bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi RM1 juta bagi kesalahan kedua.

"Jika orang itu bukan pertubuhan perbadanan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tiga tahun atay kedua-duanya dan denda RM250,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kedua serta berikutnya," katanya.