SINGAPURA: Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam pada Rabu berkata konflik yang berpanjangan di Asia Barat serta penutupan Selat Hormuz boleh mencetuskan kemelesetan ekonomi global yang besar dan kadar inflasi yang lebih tinggi.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, Tharman berkata peristiwa politik global kebelakangan ini menunjukkan betapa dunia kini menjadi semakin bergolak.
Advertisement
"Bagi setiap minggu peperangan ini berterusan dan Selat Hormuz kekal ditutup, harga bahan api akan menjadi lebih tinggi dan kekal pada tahap itu untuk tempoh yang lebih lama.
Ini menambah titik tekanan baharu yang besar kepada ekonomi global dan pasaran kewangan yang sememangnya sudah sedia tertekan," kata Tharman ketika beliau meluluskan pelan perbelanjaan kerajaan bagi tahun akan datang.
Menurut Presiden itu, masalah berkenaan boleh melangkaui pasaran minyak dan gas kerana ia turut akan memberi kesan kepada bekalan serta harga makanan, selain komoditi lain.
Bagaimanapun, beliau berkata Singapura mempunyai beberapa penampan strategik yang sedang dilaksanakan dalam mengharungi pergolakan itu sebagai sebuah negara kecil.
"Kami telah membina rizab yang akan membantu kami menangani krisis besar, sebagaimana yang telah kami lakukan sebelum ini.
Kami mempunyai Belanjawan Singapura yang membolehkan kami melabur dengan berani dalam setiap kemahiran dan keupayaan yang diperlukan, serta mengekalkan sebahagian kewangan untuk keperluan masa hadapan," katanya.
-- BERNAMA
TAG: Singapura, Presiden, belanjawan, Asia Barat, Tharman Shanmugaratnam