PETALING JAYA: Penantian seorang ibu tunggal untuk melihat lima cahaya matanya memiliki identiti rasmi berakhir apabila mereka menerima dokumen pengenalan diri yang sah hari ini.
Noorsyuhada Mohamad, 33, mengakui kehidupannya dihimpit pelbagai cabaran termasuk ketiadaan pengangkutan dan kurang kesedaran mengenai kepentingan pendaftaran menyebabkan anaknya yang berusia empat hingga 11 tahun tidak mempunyai dokumen itu.
Advertisement
“Syukur Alhamdulillah. Saya sekarang sangat gembira, tenang dan segala beban yang ditanggung selama ini hilang. Ini anugerah terbaik menjelang Ramadan tidak lama lagi,” katanya.
Noorsyuhada berkata demikian selepas lima daripada tujuh anaknya menerima sijil kelahiran dan MyKid yang diserahkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Pangsapuri Rima Riang, di sini hari ini.
Lima kanak-kanak itu ialah Mohamat Nor Shuhairil Mohd Zahari, 11, Noor Hairiza, 10, Noor Syuhaila, lapan, Mohamat Nor Zuhairi, tujuh, dan Noor Faszila, empat.
Noorsyuhada berkata perancangan utamanya selepas mempunyai dokumen itu ialah memastikan semua anak memulakan sesi persekolahan secepat mungkin demi mengubah nasib keluarga.
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata penyerahan identiti rasmi itu bukan sekadar simbolik tetapi titik mula bagi mengangkat maruah serta memulihkan masa depan lima kanak-kanak tersebut.
“Dokumen pengenalan diri kunci utama untuk mereka mengakses pendidikan, rawatan kesihatan dan peluang pekerjaan apabila dewasa,” katanya.
Saifuddin Nasution turut berkongsi statistik membimbangkan, iaitu purata 1,000 kes pendaftaran lewat kelahiran direkodkan setiap bulan di seluruh negara.
Justeru beliau menyeru masyarakat agar lebih cakna memastikan peristiwa penting seperti kelahiran didaftarkan mengikut tempoh ditetapkan bagi mengelakkan implikasi jangka panjang terhadap hak individu sebagai rakyat Malaysia.
Perjuangan Noorsyuhada mula mendapat perhatian selepas video kedaifan keluarganya tular di media sosial melalui inisiatif seorang aktivis sosial pada 24 Jan.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor kemudiannya segera turun padang memulakan proses verifikasi dokumen dan pengesahan hospital.
-- BERNAMA