Skip to main content

Malaysia

Video tular langgar motosikal: Polis sahkan tiada unsur gangsterisme atau perkauman

KUALA LUMPUR, 29 Jan -- Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar ketika sidang media berkenaan Op Palu sempena Hari Thaipusam di Batu Caves hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Shazeli berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian tersebut berpunca daripada pertikaian peribadi berkaitan isu tanah serta laluan lori di kawasan berkenaan. - Bernama

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan insiden video tular memaparkan sebuah kenderaan pacuan empat roda melanggar sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki di Kampung Sungai Jernih, Kajang di sini hari ini, tidak melibatkan unsur gangsterisme atau isu perkauman.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata siasatan awal mendapati motif kejadian tersebut berpunca daripada pertikaian peribadi berkaitan isu tanah serta laluan lori di kawasan berkenaan.

Advertisement

“Siasatan mendapati kejadian berpunca daripada rentetan perselisihan faham antara dua pihak dan kita menerima dua laporan berasingan di bawah Seksyen 307/279 Kanun Keseksaan serta Seksyen 395/365 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shazeli berkata kedua-dua pihak terbabit telah membuat laporan polis dan lima lelaki termasuk seorang warga asing berusia 24 hingga 38 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri yang menyalahi undang-undang serta diminta tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam.

“Polis akan mengambil tindakan berlandaskan pada lunas undang-undang terhadap sesiapa yang melakukan tindakan yang menggugat keselamatan serta ketenteraman awam,” katanya.

Terdahulu tular video berdurasi 16 saat memaparkan sebuah kenderaan pacuan empat roda melanggar sebuah motosikal serta terdapat gambar dengan kapsyen mendakwa menerima ugutan.

-- BERNAMA

Must Watch Video