KUALA LUMPUR: Dua sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah tumpas susulan penahanan lima individu warga tempatan termasuk seorang wanita bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM25.3 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kesemua suspek ditahan dalam dua serbuan berasingan di Selangor dan Kedah pada semalam dan awal pagi tadi.

Kata beliau, pada serbuan pertama yang dibuat semalam pihaknya berjaya memberkas seorang lelaki berusia 40 tahun di sekitar Selangor.

Dalam operasi itu, polis menemui 404.3 kilogram dadah methamphetamine, 7.7 kilogram dadah heroin dan 35.3 kilogram ecstacy yang dianggarkan bernilai RM16.4 juta. 

Manakala dalam serbuan kedua yang dilakukan sekitar jam 12.50 pagi tadi, tiga lelaki dan seorang wanita berusia 25 hingga 39 tahun telah ditahan di Kedah dan Selangor.

Susulan itu sejumlah 248.7 kilogram dadah jenis methamphetamine bernilai RM8.95 juta dirampas.

Jelas beliau lagi, rampasan kesemua dadah berkenaan boleh dibekalkan kepada lebih 3.4 juta penagih.

Siasatan awal juga percaya sindiket mendapat bekalan dadah itu daripada negara jiran.

"Kedua-dua sindiket ini dipercayai mula aktif sejak penghujung tahun 2021. Modus operandi yang digunakan oleh sindiket ini adalah menjadikan premis kediaman sebagai tempat menyimpan dadah sebelum diseludup ke negara jiran untuk pasaran antarabangsa dan juga diedarkan untuk pasaran tempatan," katanya dalam sidang media di Dewan Theatrette, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, pada Jumaat.

Dalam kedua-dua serbuan itu, polis turut menyita empat buah kenderaan bernilai RM360,000.

Selain itu menurut Ayob Khan, salah seorang suspek dikesan positif dadah jenis methamphetamine dan dua lagi mempunyai rekod jenayah lampau kes dadah.

Kesemua tahanan direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.