KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menggariskan lima fokus utama untuk direalisasikan menerusi Belanjawan 2024 bagi membangun ekonomi mampan dan mewujudkan negara keusahawanan yang unggul, kata Menterinya Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata fokus itu ialah bagi meningkatkan penyertaan Perusahaan, Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam sektor bernilai tinggi bagi menembusi pasaran global, menumpukan pengukuhan kemampanan PMKS dan koperasi bagi meningkatkan daya saing ekonomi.

Katanya fokus itu termasuk memperkasakan perusahaan mikro bagi menjamin kelangsungan perniagaan, memperhebatkan keupayaan gerakan koperasi dalam rantaian bekalan dan memperkukuh ekosistem keusahawan sosial bagi menormalkan impak sosial.

"Lima fokus utama itu dikenal pasti hasil daripada input-input yang diperoleh secara terus melalui sesi libat urus yang diadakan dengan pihak-pihak berkepentingan mewakili persatuan, dewan perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), koperasi dan agensi-agensi kerajaan," katanya dalam satu kenyataan selepas menghadiri Dialog Belanjawan 2024 bagi Kuskop di sini hari ini.

Sementara itu, Ewon berkata keperluan premis perniagaan seperti hab keusahawanan antara cadangan usahawan Sabah dan Sarawak dalam Dialog Belanjawan 2024 bagi kementeriannya itu.

Selain itu katanya peserta sesi dialog itu turut mengutarakan cadangan melibatkan isu berkaitan pembiayaan sama ada geran atau pinjaman, penyediaan lebih banyak premis perniagaan seperti hab keusahawanan dan ruang niaga, serta pusat pemprosesan dan naik taraf kemudahan.

Beliau berkata peserta juga mengemukakan cadangan supaya lebih banyak latihan keusahawanan bukan sahaja untuk koperasi tetapi usahawan kecil dan sederhana termasuk usahawan mikro dan informal di Sabah.

"Mereka turut memberikan pandangan mengenai isu pelesenan, proses permohonan pembiayaan, kriteria dan syarat yang perlu ditambah baik.

Selain itu ada juga cadangan program pembangunan atau penganjuran pelbagai program seperti expo dalam Malaysia terutama di Sabah dan Sarawak, cadangan membawa usahawan Sabah dan Sarawak ke luar negara juga dicadangkan," katanya.

Ewon berkata cadangan yang diumumkan peserta sesi dialog itu merupakan sebahagian daripada 54 cadangan Belanjawan 2024 yang telah dikemukakan Kuskop kepada Kementerian Kewangan.

-- BERNAMA