KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memberi penekanan kepada lima fokus utama meliputi 20 landasan hala tuju yang akan dilaksanakan sepanjang tahun ini, ke arah peningkatan prestasi kecemerlangan pendidikan tinggi.

Menterinya Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata lima fokus utama itu adalah penyediaan bakat terbaik negara, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi, pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu, pengantarabangsaan pendidikan tinggi, serta pemantapan ekosistem pemboleh daya.

"Sejak hari pertama menggalas amanah dan taklifan sebagai menteri, saya menekuni dan mencermati kesemua dokumen penting khasnya melibatkan strategi dan perangkaan perancangan yang dibangunkan di kementerian ini.

"Justeru, saya dapat rumuskan bahawa terdapat lima dimensi utama yang dapat ditemakan sebagai 'fokus utama KPT', selari dengan matlamat dan hasrat yang dirangkumkan dalam Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Malaysia 2023-2025," katanya ketika menyampaikan ucapan Landasan Hala Tuju KPT Tahun 2024 di Universiti Malaya di sini hari ini.

Zambry yang hari ini genap sebulan menerajui KPT berkata lima fokus utama itu yang turut meliputi 20 landasan hala tuju itu adalah hasil perbincangan pelbagai pihak yang antaranya menyentuh mengenai sektor pendidikan tinggi negara perlu inklusif dan terbuka kepada semua kelompok termasuklah golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Bagaimanapun menurutnya lima fokus utama dan 20 landasan hala tuju yang digariskan itu bukanlah sesuatu ketetapan yang tidak boleh diubah, sebaliknya pindaan atau perubahan boleh dibuat dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan kesesuaian yang wajar diberikan keutamaan ke arah meningkatkan prestasi kecemerlangan pendidikan tinggi.

Menyentuh mengenai Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 yang akan tamat tahun depan, Zambry berkata sudah tiba masa untuk pihaknya merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) baharu pada tahun ini sebagai lanjutan dan kesinambungan pelan berkenaan.

Dalam merealisasikan perkara itu, beliau berkata negara tidak memerlukan satu suruhanjaya khusus ditubuhkan untuk meneliti pencapaian pendidikan tinggi Malaysia berbanding negara serantau seperti Vietnam, Thailand dan Indonesia dan seterusnya memeta hala tuju pendidikan tinggi untuk tempoh masa panjang.

"Memadai dengan penubuhan satu kumpulan pakar bagi meneliti perkara itu. Sehubungan itu, saya beri masa 12 bulan kepada kementerian untuk mendiagnosis tahap pencapaian pendidikan tinggi kita secara menyeluruh.

"Kita perlu membedah siasat untuk mengenal pasti isu dan punca sebenar kepada permasalahan yang berlaku. Dengan cara itu, kita akan dapat maklumat yang tepat untuk merangka strategi jangka panjang pendidikan tinggi negara yang akan dimaktubkan dalam pelan pembangunan pendidikan tinggi negara yang baharu," katanya.

Sementara itu, Zambry berkata KPT akan menganjurkan Jerayawara Kampus MADANI ke semua IPT awam dan swasta seluruh negara bertujuan untuk melihat sendiri situasi sebenar di peringkat institusi serta memastikan aspek kebajikan pelajar dan kakitangan dititikberatkan.

-- BERNAMA