PASIR PUTEH: Seorang lelaki warga Vietnam yang hanyut kira-kira lima hari lepas ditemukan selamat oleh sebuah kapal tempatan berhampiran sempadan Malaysia-Thailand di Tok Bali dekat sini semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan Kapten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata mangsa Le Hoang Em, 41, diselamatkan kapal Express 93 pada kedudukan 107.2 batu nautika dari muara Tok Bali kira-kira 11.30 pagi.

"Pihak kapal berkenaan mengambil langkah sewajarnya dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang jangkitan COVID-19 sebelum membawa naik mangsa ke atas kapal.

"Mangsa juga disyaki mengalami hypothermia semasa dibawa naik ke atas kapal dengan suhu badan 34 darjah celsius, namun berjaya distabilkan pihak kapal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketika ditemui, mangsa dalam keadaan berpaut pada pelampung yang dibuat daripada pelampung pukat dan tidak memakai sebarang pakaian.

Muhd Nur Syam Asmawie berkata hasil perbualan awal, mangsa memaklumkan dia bekerja dengan sebuah bot yang mempunyai enam kru termasuk tekong.

"Bot yang dinaikinya dikatakan telah karam lima hari lepas berhampiran Pulau Nam Du, Vietnam sebelum dihanyutkan sejauh kira-kira 147 batu nautika hingga ke lokasi dijumpai.

"Mangsa telah dibawa masuk ke Jeti Tok Bali Supply Base (TBSB) pada 9.30 pagi tadi dan dihantar ke Klinik Kesihatan Cherang Ruku untuk menjalani ujian calitan COVID-19 serta pemeriksaan kesihatan," katanya.

Beliau berkata APMM akan menjalankan siasatan bagi meneliti kejadian sebenar kerana mangsa dijumpai di kawasan perairan negara malah mendakwa bot dinaikinya bersama enam kru telah karam sejak lima hari lepas.

"Setelah selesai, mangsa dijangka akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk proses selanjutnya," katanya sambil memberitahu Kedutaan Vietnam di Malaysia juga telah dimaklumkan berhubung perkara itu.

-- BERNAMA