KUALA LUMPUR: Lima kementerian terlibat dengan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) diminta menyegerakan dan mempertingkatkan jumlah premis yang menawarkan perkhidmatan jualan lebih murah menerusi agensi masing-masing, kata Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi,Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata kementerian tersebut adalah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Menurut Annuar, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, sebanyak 127 lokasi jualan program itu dijalankan bagi minggu pertama, jauh daripada sasaran penuh iaitu 639 lokasi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

"Oleh kerana terdapat lima kementerian yang berbeza-beza, dalam pelaksanaan ini, laporan menunjukkan masih banyak lagi lokasi yang belum menjalankan perniagaan ataupun khidmat jualan murah Keluarga Malaysia.

"Kementerian berkenaan dikehendaki membuat pelaporan pada setiap minggu kepada jawatankuasa (pasukan khas) untuk memastikan matlamat mengadakan jualan di kesemua 639 premis (lokasi) dapat dicapai dalam masa terdekat," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, di sini, pada Khamis.

Justeru, Annuar berharap supaya sasaran program jualan itu diadakan di kesemua 639 lokasi di kawasan DUN dapat dilaksanakan pada akhir September ini.

Annuar, bagaimanapun, berkata beliau memahami kesulitan dihadapi kementerian berkenaan kerana melibatkan antaranya logistik dan bajet, selain sesetengah daripada kementerian itu belum pernah terlibat secara langsung dalam program tersebut.

"Jadi kita berikan tempoh bersesuaian tetapi saya berharap akhir September, kita dapat jalankan sepenuhnya. Kita bukan sahaja harap jumlah 639 (lokasi di kawasan DUN), kita mengharapkan kekerapannya berlaku setiap minggu bagi 639 (lokasi)," katanya.

Menurut Annuar, pelaksanaan program jualan itu juga melibatkan satu perbelanjaan yang besar dalam masa empat bulan dari sekarang dengan pasukan khas itu menjangkakan perbelanjaan melibatkan sebanyak RM80 juta.

"...dan bila (pelaksanaan penuh program jualan) ini berjalan nanti, bila kita buka pula pembelian dalam talian di tempat-tempat ada perkhidmatan penghantaran, kita akan belanjakan RM200 juta lagi untuk kita masuk ke dalam sistem supaya lebih ramai lagi dapat membeli barangan harga murah," katanya.

Selain itu, Annuar berkata pasukan khas itu berharap supaya perkhidmatan pembelian secara dalam talian yang menawarkan barangan dengan harga lebih murah dapat diadakan pada September ini.

Menurutnya, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sedang menyiapkan kerangka akhir untuk dibentangkan kepada pasukan khas itu pada minggu hadapan untuk membolehkan pelaksanaannya diterima atau diselaras dengan jualan lain.

"Bermakna ini platform ketiga selepas PJMKM, kemudian jualan melalui rangkaian koperasi, sekarang inilah rangkaian pembelian melalui platform e-dagang dan kita sedang mendaftarkan seberapa banyak pengendali platform e-dagang.

"Kita ambil maklum semakin banyak platform e-dagang tempatan yang telah wujud, maka kita ingin galakkan semua platform e-dagang tempatan besar dan kecil akan dapat mengambil bahagian di mana mereka boleh hubungi MDEC mulai sekarang untuk mereka daftarkan diri mereka bagi menyertai program yang akan kita lancarkan pada September ini," katanya.

Annuar berkata perincian program tersebut mungkin diumumkan minggu hadapan setelah satu pembentangan dibuat oleh MDEC kepada pasukan khas itu.

Sementara itu, katanya, rakyat perlu menjangkakan kadar inflasi akan terus meningkat, tetapi yang penting kerajaan dapat mengawal peningkatan kadar inflasi yang naik secara perlahan dalam bentuk terkawal, dan pada masa sama menggalakkan masyarakat membeli produk tempatan selain barangan import.

"Kita tahu kadar inflasi tidak boleh kita hapuskan sama sekali tetapi sebagai salah sebuah negara mempunyai kadar inflasi secara relatif lebih rendah, kerajaan akan mengambil pendekatan terus mengawal harga barang terutamanya dan tidak membiarkan kenaikan secara sewenang-wenang agar kadar kenaikan inflasi negara kita berlaku secara beransur-ansur dan cukup terkawal," katanya.

-- BERNAMA