Skip to main content

Malaysia

Lima laluan utama Kajang ditutup mulai Rabu sempena Ambang Merdeka Selangor

DATARAN MPKJ @ STADIUM KAJANG
Penutupan jalan itu bagi memastikan kelancaran trafik serta keselamatan orang awam sepanjang program yang dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos ini, di Stadium Kajang. - MPKJ
Advertisement

KUALA LUMPUR: Lima laluan utama di sekitar Kajang akan ditutup secara berperingkat mulai Rabu ini, sebelum ditutup sepenuhnya pada 30 Ogos sempena Sambutan Ambang Merdeka Peringkat Negeri Selangor 2026 di Stadium Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata penutupan jalan itu bagi memastikan kelancaran trafik serta keselamatan orang awam sepanjang program yang dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos ini.

Beliau berkata Jalan Mahkamah akan ditutup sepenuhnya dari 26 hingga 30 Ogos manakala empat lagi laluan, iaitu Jalan Cempaka Putih, Jalan Cempaka Kuning, Jalan Stadium dan Jalan Cheras akan ditutup secara berperingkat.

“Bagi penutupan secara berperingkat untuk sesi raptai, ia membabitkan masa dari 8.30 pagi hingga 10.30 pagi dan 7 malam hingga 10 malam pada 28 Ogos serta 7 malam hingga 10 malam pada 29 Ogos.

“Kesemua laluan terbabit kemudiannya akan ditutup sepenuhnya pada hari kemuncak sambutan, iaitu 30 Ogos bermula 8 pagi hingga selesai,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sehubungan dengan itu, Naazron menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan trafik di sekitar lokasi sambutan.

Beliau berkata pengguna jalan raya juga diminta mematuhi arahan serta panduan yang diberikan oleh pegawai dan anggota polis yang bertugas di lapangan.

Bagi memudahkan urusan pengunjung, pihak penganjur turut menyediakan beberapa kawasan parkir khas di sekitar lokasi sambutan.

Pengunjung juga disarankan menggunakan perkhidmatan bas perantara yang disediakan dari beberapa stesen rel utama, termasuk stesen Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Jernih, MRT Bukit Dukung, MRT Jalan Bukit, Transit Aliran Ringan (LRT) Jalan Reko dan LRT Kajang 2.

Dalam pada itu, beliau berkata petugas kesihatan bersama ambulans dari Hospital Kajang, St John, Pusat Perubatan Kajang Plaza dan Angkatan Tentera Malaysia akan ditempatkan di lokasi strategik bagi menghadapi sebarang kecemasan.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan atau aduan berkaitan trafik boleh menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-8911 4222.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement