KOTA BHARU: Lima lelaki ditahan dipercayai terbabit dengan kegiatan penyeludupan rokok bernilai RM750,000 dalam dua serbuan berasingan pada Sabtu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kesemua mereka berusia di antara 27 dan 59 tahun itu ditahan menerusi Op Kontraban pada jam 3.45 pagi dan 3.30 petang.

Menurutnya, dalam serbuan pertama, polis menangkap tiga lelaki dalam sebuah kereta jenis Perodua Kembara dan memeriksa sebuah lori jenis Toyota di hadapan kedai di Simpang Empat Kampung Pauh Panji dekat sini.

“Hasil pemeriksaan ke atas lori tersebut, polis menjumpai kira-kira 300,000 batang rokok putih berjenama dengan nilai anggaran RM225,000 dipercayai tidak bercukai.

“Pihak polis membuat rampasan ke atas kesemua rokok untuk siasatan lanjut. Turut dirampas kedua-dua kenderaan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Muhamad Zaki berkata, soal siasat terhadap ketiga-tiga suspek membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki yang bertindak sebagai ‘pointer’ bagi kegiatan terbabit.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, polis membuat tangkapan ke atas seorang lelaki berusia lewat 20-an di Kampung Panji dan hasil soal siasat membawa kepada penemuan sebuah lori jenis Isuzu di Kampung Padang Mokkan di daerah sama.

“Pemeriksaan ke atas lori tersebut menjumpai kira-kira 700,000 batang rokok putih berjenama dipercayai diseludup masuk ke negara ini dengan nilai rampasan dianggarkan RM525,000.

“Hasil siasatan awal mendapati rokok-rokok dipercayai diseludup untuk pasaran dalam negara ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta

Katanya, jika disabitkan dengan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda minimum 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 yang mana-mana lebih besar dan maksimum 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana-mana lebih besar atau boleh dikenakan penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kelima-lima suspek di bawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu untuk tujuan permohonan tahanan reman.

“Kejayaan ini adalah hasil pendekatan Polis Kontinjen Kelantan melalui kawalan lapisan kedua, Ketua Polis Daerah, penugasan risikan dan rondaan di samping kawalan lapisan pertama oleh Pasukan Gerakan Am serta sekatan jalan raya di kawasan sempadan negara,” katanya. -Sinar Harian