IPOH: Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) negeri merekodkan sembilan kejadian kemalangan di tapak kuari, melibatkan dua kecederaan dan lima kematian dari 2022 hingga September 2023, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata antaranya pada 8 Mac 2022 melibatkan kejadian runtuhan batu membabitkan kematian dua pekerja kuari Danshak Sdn. Bhd. (No. 2), dan 27 Mei lepas pula berlaku kejadian runtuhan batu melibatkan seorang pekerja kuari Anting Sdn Bhd maut.

"Pada 25 Jun lepas pula, berlaku kejadian melibatkan syarikat Lhoist (M) Sdn Bhd, dengan operator lori pengangkutan tersepit pada lori melibatkan kematian seorang pekerja kontraktor pengangkutan, manakala kejadian runtuhan batu pada 5 Sept, membabitkan kematian seorang pekerja kuari Mutual Way Lime Products Sdn Bhd," katanya.

Saarani berkata pengoperasian sesuatu kuari memerlukan Surat Kelulusan Skim Pengkuarian (SKSK) atau Surat Kelulusan Sijil Pengendalian Melombong (SKSPM), yang akan dikeluarkan JMG Perak.

Beliau berkata permohonan mendapatkan SKSK atau SKSPM akan dibawa untuk pertimbangan Jawatankuasa Penasihat Pengkuarian Negeri Perak yang ditubuhkan di bawah Dasar Kuari Perak 2004.

"Jawatankuasa ini yang bersidang dengan kekerapan empat kali setahun, turut meneliti dan membincangkan aduan serta insiden berkaitan operasi pengkuarian dan perlombongan di negeri Perak, seperti kemalangan runtuhan batu yang melibatkan kematian dan kecederaan pekerja kuari.

"Antara garis panduan berkaitan yang diguna pakai bagi maksud pembangunan ialah Garis Panduan Perancangan Pembangunan Di Kawasan Bukit dan Tanah Tinggi, yang dibangunkan pada tahun 2009 oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia (PlanMalaysia)," kata Saarani pada sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab ketika menjawab soalan V. Bavani (PH-Malim Nawar), yang mahu tahu status penubuhan jawatankuasa khas untuk menilai aspek keselamatan di tapak kuari, penglibatan jawatankuasa itu dalam membentuk Garis Panduan Pembangunan Tanah, serta statistik kemalangan di tapak kuari dari tahun lepas sehingga 2023.

-- BERNAMA