PUTRAJAYA: Seramai lima panel hakim mula mendengar semakan yang difailkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menyemak semula keputusan mahkamah yang mengekal sabitan, hukuman dan denda terhadapnya berhubung kes penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd, di Mahkamah Persekutuan di sini, pada jam 9.43 pagi Khamis.

Mereka ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebil Sebli, tiga Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

Permohonan semakan itu dibuat mengikut Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Najib selaku pemohon diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram.

Pada 6 September 2022, bekas ahli Parlimen Pekan itu memfailkan semakan terhadap keputusan panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Bekas Ahli Parlimen Pekan ini menyatakan bahawa, haknya untuk mendapatkan perbicaraan adil sebagaimana dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan telah dinafikan.

Sebelum ini, pada 23 Ogos tahun sama, panel lima hakim yang diketuai Tengku Maimun sebulat suara mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib.

Turut bersidang pada tarikh tersebut ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

Dengan keputusan tersebut, Najib mula menjalani hukuman penjaranya di Penjara Kajang pada tarikh yang sama. - Sinar Harian