Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 72 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) setakat 21 Julai.

Daripada jumlah itu, tiga individu telah dikenakan reman manakala selebihnya dikenakan kompaun.

Berikut adalah lima perkara yang anda perlu tahu daripada kenyataan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkaitan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Rabu, 22 Julai 2020.

1) Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 61,246 pemeriksaan pada 21 Julai 2020.

2) Seramai 1,944 pendatang asing tanpa izin (PATI), 560 tekong serta 121 penyeludup telah ditahan cuba melepasi sempadan negara termasuk 73 bot dan 201 kenderaan menerusi OP BENTENG setakat 21 Julai

3) Pemeriksaan di lokasi tapak pembinaan mendapati sebanyak 3,321 tapak pembinaan telah mematuhi SOP ditetapkan manakala 555 tapak pembinaan tidak patuh SOP dan telah diberi amaran serta 19 lagi tapak pembinaan diarah tutup.

4) Seramai 40 rakyat Malaysia yang merupakan jemaah tabligh yang terkandas di India bakal dibawa pulang hari ini dan perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP).

5) Sebanyak 13 operasi sanitasi awam telah dilakukan melibatkan 12 zon di empat buah negeri iaitu Sabah, Melaka, Pahang, dan Perak.