KUALA LUMPUR:Operasi Benteng (Op Benteng) telah berjaya mengusir 11 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba memasuki sempadan negara dan menahan seoorang PATI, dua penyeludup serta merampas dua buah kenderaan darat dalam operasi yang diadakan di seluruh negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, dalam operasi itu juga, sebanyak 111 buah bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan.

Katanya, sebanyak 537 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng juga dilaksanakan di seluruh negara.

Berikut lima perkara penting sidang media Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 16 Feb:

1) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang yang dijadualkan tamat pada 18 Feb, akan disambung sehingga 4 Mac depan.

2) Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah, Putrajaya dan Labuan ditukar status kepada PKPB, manakala Perlis ditukar status kepada PKPP.

3) Pergerakan melebihi radius lebih 10 kilometer dibenarkan, namun rentas negeri dan daerah tetap dilarang.

4) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kompleks Penjara Bentong dan kuarters kakitangan, Bentong, Pahang; Felda Lasah dan Kg Besi Api, Kuala Kangsar, Perak; Felda Tersat Kuala Berang dan Tapak Bina Kuarters TNB Kuala Berang, Hulu Terengganu, Terengganu ditamatkan 17 Feb ini.

5) Seramai 596 individu ditahan dalam operasi penatuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

BACA: PKP 2.0 di Selangor, KL, Johor, P. Pinang disambung hingga 4 Mac