MELAKA: Empat lelaki dan seorang wanita dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dan memiliki dadah oleh Mahkamah Tinggi Ayer Keroh di sini hari ini.

Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Nizam Makzan, 34, Nurshahira Hamraj, 27, Hairudin Ramle, 24, Muhammad Hilmi Rosly, 33, dan Dermawan Muhammad, 38, di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Mohd Radzi berkata mahkamah mendapati tiada keterangan jelas daripada pihak pendakwaan untuk menyokong keberadaan tertuduh di meja kopi di sebuah rumah di mana dadah berkenaan ditemukan yang menunjukkan tertuduh mempunyai milikan atau berurusan dengan bahan terlarang itu.

"Oleh kerana pendakwaan gagal membuktikan elemen pemilikan maka mahkamah mendapati elemen mengedar dan menyimpan dadah gagal dibuktikan pihak pendakwaan, justeru kelima-lima tertuduh dilepas dan dibebaskan atas empat pertuduhan," katanya.

Lima rakan itu didakwa dengan niat bersama mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 166.24 gram (g) dan tiga pertuduhan memiliki heroin seberat 1.44g, monoacetylmorphines (1.81 g) dan ketamin (17.66 g).

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Semabok dalam daerah Melaka Tengah kira-kira 1 pagi pada 22 Mac 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mereka juga dituduh di bawah Seksyen 12(2) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Yusof manakala peguam Mak Kah Keong, Tiu Leong Kim, Datuk Hanif Hassan, Azrul Zulkifli Stork dan Andrew Lourdes masing-masing mewakili setiap seorang tertuduh.

Sebelas saksi dipanggil pihak pendakwaan untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

-- BERNAMA