PUTRAJAYA: Kerajaan Selangor dan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Wilayah Persekutuan bersetuju melaksanakan lima tindakan utama bagi mengurangkan insiden banjir yang menjejaskan penduduk Lembah Klang.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan susulan pertemuan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berhubung isu kolam takungan banjir dan krematorium hari ini, kedua-dua pihak sepakat untuk mengadakan mesyuarat teknikal dalam tempoh dua minggu.
"Tindakan lain merangkumi mengkaji kapasiti Empangan Batu dan Empangan Klang Gate, mengenal pasti lokasi kolam takungan banjir baharu, meningkatkan kapasiti tiga kolam sedia ada serta menyelaras kerja pengorekan sungai dan pembuangan kelodak," menurut kenyataan itu.
Memperincikan lima tindakan berkenaan, kenyataan itu memaklumkan bahawa mesyuarat teknikal akan mengenal pasti lokasi, skop projek, anggaran kos, sumber pembiayaan dan kaedah pelaksanaan, selain perincian awal disediakan sebelum sesi Parlimen akan datang dan pembentangan Belanjawan 2027.
“Mesyuarat berkala turut akan diadakan bagi memantau kemajuan dan menyelesaikan perkara berbangkit,” menurut kenyataan itu.
Bagi kapasiti empangan, kedua-dua pihak bersetuju kajian terhadap Empangan Batu dan Empangan Klang Gate perlu dilaksanakan bagi menilai sama ada kapasiti sedia ada mencukupi untuk keperluan pengurusan air bagi tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang dengan mengenal pasti lokasi yang sesuai di kawasan hulu sungai bagi pembinaan kolam takungan banjir baharu termasuk di Selangor.
Kedua-dua pihak memaklumkan, penilaian berkenaan akan mengambil kira kesesuaian teknikal, status tanah, kesan terhadap alam sekitar dan masyarakat setempat serta keupayaan lokasi mengurangkan risiko banjir.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor akan mengenal pasti tiga kolam sedia ada, iaitu Kolam Kampung Laksamana, Kolam Sungai Kertas dan kolam di Bukit Lagong yang sesuai untuk dinaik taraf bagi meningkatkan kapasiti takungan.
“Kolam di Bukit Lagong terletak dalam kawasan hutan simpan yang perlu dinyahwartakan bagi membolehkan kawasan tersebut digunakan sebagai kolam takungan,” menurut kenyataan itu.
Bagi kerja pengorekan sungai dan pengeluaran kelodak, JPS Selangor bersama JPS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan menyelaras pengenalpastian sungai di Kuala Lumpur dan Selangor yang memerlukan kerja berkenaan.
“JPS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga akan membantu mengenal pasti tapak khas seluas 30 ekar (12.14 hektar) yang sesuai bagi pembuangan sisa korekan kelodak di Selangor,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pihak berpendapat bahawa kesemua tindakan itu diambil susulan keperluan mendesak, selain didorong faktor bahawa tiga daripada 10 rakyat Malaysia merupakan penduduk Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, manakala kedua-dua kawasan berkenaan menyumbang 41.7 peratus kepada keseluruhan ekonomi Malaysia.
-- BERNAMA