NATIONAL
LIMA'25: Malaysia perkukuh keselamatan maritim dengan teknologi pengawasan canggih

Mohamed Khaled menekankan peranan teknologi baharu, khususnya penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam analisis data, pemantauan ancaman maritim serta penyelidikan dan penerokaan bawah laut. - Gambasr fail/Bernama
LANGKAWI: Malaysia akan meningkatkan pelaburan dalam teknologi pengawasan canggih, termasuk penggunaan kenderaan autonomi tanpa pemandu (AUV) bagi memperkukuh keselamatan maritim negara.
Ringkasan AI
- Pelaburan dalam Teknologi Keselamatan Maritim: Malaysia akan meningkatkan pelaburan dalam teknologi pengawasan canggih, termasuk penggunaan kenderaan autonomi tanpa pemandu (AUV).
- Kerjasama Antarabangsa & Penguatkuasaan: Negara akan mempertingkat mekanisme perkongsian risikan, menjalankan lebih banyak latihan bersama tentera laut dengan rakan antarabangsa, serta memperkukuh undang-undang.
- Peranan Teknologi & Strategi Masa Depan: Malaysia akan memanfaatkan teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI), dalam pemantauan dan analisis ancaman maritim.
"Selain itu, kita perlu seiring dengan perkembangan teknologi canggih dan terkini yang dapat mengoptimumkan keupayaan menangani isu maritim," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Maritim Malaysia (MMC) yang diadakan bersempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA'25) di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata Malaysia turut komited memperkukuh kerangka perundangan bagi memerangi aktiviti penangkapan ikan secara haram, pencemaran marin dan pencerobohan oleh kapal asing.
Beliau berkata dengan memperkukuh mekanisme penguatkuasaan, Malaysia berhasrat memastikan akauntabiliti dan menghalang aktiviti maritim haram.
"Prosperiti ekonomi sebenar tidak dapat dicapai tanpa keselamatan maritim. Ancaman tradisional dan bukan tradisional, termasuk penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal (IUU), lanun, penyeludupan dan pencemaran laut, terus mencabar kedaulatan negara," katanya.
Beliau turut menekankan gangguan terhadap rantaian bekalan global, perubahan landskap geopolitik dan ancaman keselamatan yang terus berkembang, menggariskan keperluan kepada pendirian pertahanan maritim yang kukuh dan bersepadu.
Mohamed Khaled turut menekankan peranan teknologi baharu, khususnya penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam analisis data, pemantauan ancaman maritim serta penyelidikan dan penerokaan bawah laut.
Mengenai persidangan itu, beliau berkata ia harus menjadi platform penting bagi pertukaran idea, memperkukuh kerjasama dan merangka dasar yang berpandangan ke hadapan ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maritim terunggul.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami