Skip to main content

Malaysia

Limpahan air MTL perlu dimanfaat hadapi ancaman kemarau, jamin sekuriti makanan - Pakar

- Gambar hiasan/BERNAMA
- Gambar hiasan/BERNAMA

Ringkasan AI

  • Pakar mencadangkan limpahan air hujan musim tengkujuh ditakung dan digunakan semula untuk menjamin bekalan air serta sekuriti makanan negara.
  • Penggunaan teknologi ramalan cuaca dan Sistem Sokongan Keputusan disyor bagi mengoptimumkan operasi empangan serta mengurangkan risiko banjir dan kekurangan air.
  • Pakar pertanian menekankan keperluan tadahan air hujan dan sistem pengairan cekap untuk membantu petani menghadapi musim kering dan mengurangkan kos pengeluaran.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Limpahan air hujan yang berisiko mencetuskan bencana banjir ketika musim tengkujuh sebenarnya mampu menjadi sumber penyelamat bagi mendepani ancaman musim kering, sekali gus menjamin kelangsungan bekalan domestik dan sekuriti makanan negara.

Justeru, cabaran utama kini adalah sejauh mana sebahagian daripada limpahan air sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) dapat ditakung, disimpan dan diguna semula secara optimum ketika cuaca panas bagi mengurangkan tekanan terhadap sistem bekalan air serta sektor pertanian.

Pada 1 Nov lepas, Bernama melaporkan Malaysia berpotensi berdepan dua cabaran cuaca bertentangan dalam tempoh beberapa bulan, bermula dengan ancaman banjir akibat MTL sebelum kemungkinan dilanda kemarau susulan fenomena Super El Nino pada 2027 yang boleh menjejaskan bekalan air dan sektor agromakanan.

Advertisement

Pakar sumber air dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Madya Gs Dr Zulkarnain Hassan berkata Malaysia perlu memberi penekanan terhadap usaha memaksimumkan takungan air hujan, khususnya di kawasan penerima taburan hujan lebat seperti di Pantai Timur Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata walaupun empangan dan kolam tadahan lazimnya mencapai kapasiti maksimum ketika musim tengkujuh, potensi menyimpan lebihan air itu perlu diterjemahkan kepada tindakan lebih konkrit sebelum negara memasuki fasa kering.

Advertisement

Zulkarnain yang juga pakar hidrologi berkata antara pendekatan yang boleh diperluas ialah pemanfaatan kolam, tasik dan bekas lombong sebagai kawasan tadahan alternatif menerusi kaedah Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS), seperti pelaksanaan Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) di Selangor.

Beliau berkata inisiatif berkenaan berupaya menyediakan rizab air sandaran sehingga dua hingga tiga bulan ketika kemarau atau sewaktu berlaku henti tugas loji rawatan air akibat pencemaran, sekali gus wajar diteroka negeri lain mengikut kesesuaian geografi setempat.

Menyentuh pengurusan empangan, Zulkarnain berkata cabaran utama adalah mengoptimumkan operasi empangan pelbagai guna, khususnya dalam mengimbangi keperluan melepaskan air bagi mengurangkan risiko banjir tanpa menjejaskan rizab simpanan musim kering.

Beliau berkata sebagai contoh, Empangan Bukit Merah di Perak bukan sahaja berfungsi membekalkan air untuk pengairan dan kegunaan domestik, malah berperanan sebagai infrastruktur kawalan banjir serta zon rekreasi.

“Cabaran ini lebih ketara apabila operasi pelepasan air empangan di Malaysia masih banyak diuruskan secara manual dan bergantung kepada pengalaman pengendali. Keadaan ini berisiko menyebabkan air dilepaskan berlebihan semata-mata atas faktor keselamatan dan tebatan banjir,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan penggunaan Sistem Sokongan Keputusan (DSS) berpandukan teknologi ramalan cuaca pintar diperluas bagi membantu pengendali menentukan kuantiti pelepasan air yang tepat berdasarkan paras takungan dan keperluan semasa.

Selain itu, Zulkarnain menekankan keperluan menurunkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) menerusi penggantian paip usang, pengesanan kebocoran pantas serta pengurusan tekanan agihan yang lebih cekap.

Beliau turut menyarankan masyarakat membudayakan amalan menadah air hujan untuk kegunaan bukan minuman seperti menyiram pokok dan mencuci kenderaan, di samping mengesyorkan konsep “bandar span” dalam perancangan bandar bagi menyerap limpahan air hujan untuk mengurangkan banjir kilat serta menambah rizab air bawah tanah.

Sementara itu, pakar teknologi pertanian dari Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Wan Fazilah Fazlil Ilahi berpandangan limpahan air MTL perlu dilihat sebagai aset bernilai bagi memastikan aktiviti pertanian dapat diteruskan secara mampan ketika musim kering.

Beliau berkata pendekatan pengurusan air ladang perlu beralih daripada sekadar mengalirkan air keluar ketika hujan lebat kepada usaha mengumpul, menyimpan dan mengitar semula sumber berkenaan untuk pengairan.

Wan Fazilah berkata air larian dari kawasan ladang, bumbung struktur pertanian dan sistem saliran boleh disalurkan terus ke kolam takungan ladang atau tangki penuaian air hujan, terutama bagi kawasan pertanian luar bandar yang ketiadaan sistem pengairan berskala besar.

“Ladang sayur boleh menggabungkan tangki penuaian air hujan dengan sistem pengairan titis manakala ladang buah-buahan pula boleh menggunakan kolam takungan sebagai sumber air ketika musim kering,” katanya.

Wan Fazilah berkata langkah itu penting memandangkan tanaman seperti cili, tomato, timun dan sayur-sayuran berdaun berisiko mengalami kerosakan akar serta penyakit apabila air bertakung terlalu lama manakala padi, jagung, buah-buahan dan tanaman komoditi tertentu boleh terjejas akibat kekurangan air berpanjangan.

Beliau berkata keadaan itu boleh menjejaskan hasil dan kualiti tanaman, meningkatkan kos pengeluaran serta memberi tekanan kepada pendapatan petani, khususnya pengusaha kecil yang mempunyai kemampuan kewangan terhad.

Menurut Wan Fazilah, penggunaan sistem pengairan titis berupaya menjimatkan air antara 20 hingga 40 peratus manakala kaedah pengairan basah dan kering secara berselang-seli (AWD) bagi tanaman padi mampu menjimatkan sekitar 15 hingga 30 peratus penggunaan air.

“Teknologi berkenaan tidak memerlukan kos tinggi kerana petani kecil boleh melaksanakannya secara modular menerusi tangki dan paip asas, selain amalan pengairan yang cekap.

“Kita tidak sepatutnya menunggu sehingga kemarau melanda baru mahu bertindak. Tempoh MTL adalah peluang terbaik untuk memperkukuh infrastruktur dan sistem simpanan air sebagai persediaan mendepani kemungkinan kekurangan air pada masa depan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement