LIMBANG: Bahagian Limbang yang kini memiliki capaian liputan telekomunikasi sebanyak 48.5 peratus, dijangka mampu mencapai sasaran liputan internet yang lebih efisien sehingga 98.4 peratus menjelang penghujung 2022, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Katanya sasaran itu mampu dicapai dengan adanya pelbagai inisiatif oleh kerajaan Sarawak dan kerajaan Persekutuan bagi merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dengan masyarakat pedalaman.

"Pada masa sama, di Limbang, sebanyak enam lokasi telah diberikan kemudahan Wi-fi saluran iaitu di Kampung Ipai, Kampung Maruyu, Kampung Merajang, Long Rayeh, Rumah Rumpang dan Krangan Ma.

"Wi-fi saluran ini akan memberi kemudahan secara percuma kepada penduduk setempat yang tidak mempunyai liputan internet dengan menggunakan teknologi 'Very Small Aperture Terminal (VSAT)'," katanya dalam ucapannya di majlis pelancaran 'Sarawak Linking Urban, Rural and Nation' di sini, hari ini.

Awang Tengah berkata dunia kini telah berubah dan penggunaan teknologi telah menjadi begitu penting dan ini boleh dilihat semasa pandemik COVID-19 menyerang dunia.

"Untuk maju, kita perlu melaksanakan ekonomi digital kerana itu kerajaan berusaha meningkatkan kecekapan dan kelajuan akses internet kita. Misi utama kita adalah untuk mengurangkan jurang digital antara bandar dan luar bandar dengan kita berusaha meningkatkan kadar penembusan jalur lebar di Sarawak," katanya.

-- BERNAMA