Kira-kira 300 penyokong setia Datuk Seri Anwar Ibrahim berhimpun pada hari pertama sesi rayuan terakhir Ketua Pembangkang itu bagi menuntut pembebasannya daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Seawal jam 7.20 pagi lagi, pihak berkuasa berkawal dan memastikan keselamatan di sekeliling Istana Kehakiman di Putrajaya.

Skuad Angkatan Muda Keadilan (AMK) mula tiba di hadapan Mahkamah Persekutuan pada jam 7.40 pagi dan memulakan aktiviti dengan bacaan doa.

Timbalan Ketua AMK, Dr Afif Bahardin kemudian membuat ucapan ringkas dan meminta semua yang hadir untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dalam mengawal ketenteraman.

Penyokong Anwar yang mengenakan baju-T serba hitam dengan tulisan “Rakyat Hakim Negara” mulai tiba kira-kira jam 8 pagi. Mereka turut membawa sepanduk dengan tulisan yang sama.

Pada jam 8.20 pagi, laungan “Reformasi!” kedengaran beberapa kali, diikuti dengan sorakan “Justice for Anwar!” (Keadilan untuk Anwar).

Apabila Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali tiba pada jam 8.40 pagi, keadaan menjadi bertambah riuh.

Beliau terus menjadi fokus lensa kamera dan mendapat sorakan gemuruh daripada para penyokong.

Dalam keriuhan itu juga, kedengaran jeritan seorang wanita apabila Ahli Parlimen Gombak itu disoal pegawai polis yang mengawal pagar di hadapan mahkamah: “Bisik apa tu? Bukannya dia bawa senjata!”

Beberapa minit kemudian, Anwar dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail keluar daripada mahkamah untuk bertemu dengan penyokong

Laungan “Reformasi! Reformasi! Reformasi!” terus kedengaran.

Serentak dengan itu, beberapa jurugambar yang sebelum ini tidak dibenarkan masuk ke kawasan mahkamah, berjaya merempuh pagar untuk merakam gambar Anwar dengan lebih dekat.

Beberapa wartawan dilihat turut mengambil kesempatan untuk memasuki kawasan mahkamah dan menemu bual Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sebelum pengawal keselamatan bertindak menutup semula pagar.

Ramai tertanya-tanya apa yang dikatakan oleh Anwar kepada petugas media.

Apa yang dapat dikongsi oleh rakan-rakan media ialah kenyataan Anwar yang menyebut, "Saya akan memenangi kes jika mempunyai kebebasan kehakiman."

Antara penyokong yang hadir termasuk ahli PKR dari cabang Kuala Selangor dan Kelana Jaya.

Turut hadir ialah anggota Wanita PKR yang diketuai Zuraida Kamaruddin.

Penyokong Anwar
Ahli-ahli Wanita PKR menyuarakan sokongan mereka di luar mahkamah. -Astro AWANI/Syafique Shuib

Ahli Parlimen Ampang itu merupakan antara individu yang memberikan ucapan selain Naib Presiden PKR Tian Chua, Ketua AMK Nik Nazmi Nik Ahmad dan beberapa ahli PKR yang lain.

Secara amnya, mereka meminta diberikan keadilan kepada Anwar dan berkata rakyat akan terus bersuara jika Anwar didapati bersalah dan dikenakan hukuman penjara.

Dalam ucapan beliau, Zuraida turut melaungkan “People’s Power! People’s power!” beberapa kali dan mendapat sorakan daripada para penyokong.

Pada jam 11.30 pagi, ketika keadaan masih terkawal, kawasan pagar utama mencuri tumpuan petugas media serta kalangan yang hadir.

Ketika para penyokong tertanya-tanya apa yang sedang berlaku di sana, beberapa jurugambar dilihat terus berlari ke situ kerana tidak mahu melepaskan peluang merakam gambar kejadian.

Berdekatan dengan pagar utama Istana Kehakiman, kelihatan beberapa penyokong membakar dua helai baju-T berwarna kuning bertulis “Justice for Saiful”.

Setelah jurugambar merakam detik itu, berlaku kekecohan dengan insiden tolak-menolak.

Beberapa jurugambar dan penyokong berundur untuk melihat situasi yang agak tegang itu.

Penyokong Anwar
"Rakyat Hakim Negara" dan "Bebaskan Institusi Kehakiman" antara sepanduk yang dibawa oleh penyokong Anwar. - Astro AWANI/Syafique Shuib

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dilihat berbincang dan menenangkan salah seorang penyokong.

Keadaan berjaya dikawal dan kembali normal.

Ketika mahkamah berehat untuk makan tengah hari, penyokong dan petugas media bergegas membeli makanan untuk mengalas perut. Mereka kemudian bergerak ke masjid untuk menunaikan solat Zohor.

Prosiding disambung semula pada jam 2.20 petang. Ketika itu, kawasan di luar mahkamah kembali tenteram tanpa hiruk pikuk kalangan yang hadir.

Beberapa petugas media yang berada di luar memilih untuk pulang apabila dimaklumkan rakan setugas di dalam dewan bahawa sesi rayuan berkemungkinan akan dilanjutkan untuk satu hari lagi.

Dengan cuaca mendung dan kilat sabung-menyabung, sekitar 80 hingga 100 penyokong masih berada di dalam khemah.

Sesi rayuan kes akan bersambung esok pagi.