Skip to main content

Malaysia

LMM tamat lebih 36 bulan tidak layak dapat subsidi BUDI95

61736743505_TBAEDYFADLY.jpg
Aedy Fadly berkata status lesen memandu memainkan peranan penting dalam menentukan kelayakan penerima subsidi berkenaan, justeru pemegang lesen disaran memastikan lesen masing-masing sentiasa aktif. - Gambar fail

PUTRAJAYA: Pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang lesennya tamat tempoh melebihi 36 bulan, tidak lagi layak menerima subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95), kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli.

Aedy Fadly berkata status lesen memandu memainkan peranan penting dalam menentukan kelayakan penerima subsidi berkenaan, justeru pemegang lesen disaran memastikan lesen masing-masing sentiasa aktif.

Advertisement

"LMM yang diklasifikasikan aktif ialah lesen yang tamat sah lakunya tidak melebihi 36 bulan dari tarikh akhir pembaharuan sebelumnya. 

"Dalam tempoh ini, pemegang lesen masih layak menerima subsidi BUDI95 dan boleh memperbaharui lesen secara terus tanpa sebarang ujian tambahan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata pembaharuan lesen yang tamat tempoh melebihi 36 bulan tidak boleh dilakukan secara terus, dan pemegang lesen diwajibkan menjalani semula ujian kompetensi memandu di mana-mana institut memandu.

Sehubungan dengan itu, semua pemegang LMM diingatkan supaya sentiasa memastikan lesen mereka diperbaharui dalam tempoh yang ditetapkan bagi mengelakkan lesen menjadi tidak aktif, yang seterusnya menjadikan mereka tidak layak menerima subsidi BUDI95.

Mana-mana individu yang memandu kenderaan motor juga perlu memastikan lesen memandu yang dipegangnya masih berkuat kuasa, iaitu belum tamat tempoh.

"JPJ akan terus komited memperkukuh penyampaian perkhidmatan yang cekap, telus dan berintegriti, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video