Jika pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Nusantara bersatu membentuk kekuatan baharu, rantau ini dapat menangani percaturan geopolitik dan penjajahan ekonomi asing.

Itulah yang disampaikan oleh Ketua Umum Laskar Merah Putih (LMP) Indonesia, Adek Erfil Manurung semasa beliau menjadi salah seorang panel dalam Forum Antarabangsa 'Pengukuhan Persahabatan Bangsa Serumpun' anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) itu di ibu negara malam tadi.

"Hanya dengan kesatuan kita, bangsa asing sukar untuk mengacau ganggu dan menjajah ekonomi kita.

"Selain tenaga tentera antara kedua-dua negara ini, kita harus membina kekuatan baharu iaitu dari kalangan kumpulan seperti LMP dan Perkasa dan juga NGO-NGO lain di rantau ini," ujar Erfil.

Beliau ketika ditemui Astro AWANI berkata, LMP selama ini paling agresif membuat demonstrasi termasuk ketika terjadi isu-isu tertentu dengan Malaysia.

"Kamilah yang melakukan aksi demonstrasi di depan pejabat kedutaan Malaysia di Jakarta. Tapi itu selalu berkaitan dengan isu persempadanan dan soal hak-hak bangsa dan negara saya.

"Tindakan kami langsung tidak ada kena-mengena dengan pihak pembangkang Malaysia mahupun daripada penguasa Indonesia. Kami melakukannya secara sendiri, bebas dan aman," ujar beliau yang menambah, perlakuan melampau penunjuk perasaan yang sering terjadi di pekarangan duta besar Malaysia bukanlah daripada pihak LMP.

Menurutnya, LMP hanya mahukan suara mereka didengari. Pihak duta besar Malaysia yang baharu ini akhirnya mendekati mereka untuk berbincang akhirnya membawa kepada jalan penyelesaian dan dari situ jugalah LMP mengenali Perkasa.

"Kami ingin jelaskan bahawa kami tidak memusuhi Malaysia. Kami hanya menegakkan hak-hak bangsa dan negara sendiri, sama seperti mana-mana kumpulan NGO lain dengan perjuangan masing-masing.

"Malah saya berjanji, sekiranya Malaysia nanti diganggu-gugat kuasa dunia, LMP akan berdiri bersama rakyat Malaysia atas nama bangsa serumpun dan seagama," ujar Efril yang mengetuai kumpulan dengan 12 juta ahli seluruh Indonesia itu.

Forum tersebut turut disertai Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali; Presiden Perhimpunan Hak Asasi Melayu Singapura, Mohamad Mansor Ab. Rahman; Setiausaha Persatuan Majlis Agama Islam Wilayah Selatan Thailand (Permai), Abdul Rahman Wasof dan Ketua Kerjasama dan Hubungan Antarabangsa Pertubuhan Muhammadiah Indonesia, K.H. Muhyiddin sementara bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Ruhanie Ahmad bertindak selaku moderator.

Ibrahim dalam forum berkenaan optimis untuk membina sebuah gagasan bagi menyatukan NGO-NGO Nusantara seterusnya membina kebangkitan semula bangsa serumpun yang lebih kukuh.