KUALA TERENGGANU: Keghairahan empat 'mat rempit' mempamerkan aksi wheelie terbantut apabila diserbu pihak berkuasa.

Kesemua mereka yang berusia 15 hingga 17 tahun itu diberkas di susur keluar Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) Bukit Payong-Telemong, Marang pada Khamis.

Aktiviti mereka dikesan Skuad 42 Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu dalam operasi yang bermula jam 4 petang hingga 10 malam.

Ketua JSPT Terengganu Superintendan Abd Razak Hassan berkata pemantauan yang dilakukan itu hasil aduan yang diterima daripada orang ramai yang mendakwa lokasi berkenaan menjadi tempat untuk kumpulan mat rempit menguji kehebatan motosikal.

Abd Razak berkata pihaknya melakukan pemantauan terlebih dahulu di lokasi tersebut sebelum kumpulan penunggang motosikal itu memasuki kawasan berkenaan kira-kira jam 6 petang.

"Menerusi pemantauan yang dilakukan, kita dapati kira-kira 60 'mat motor' berkumpul di lokasi berkenaan dengan empat daripadanya melakukan aksi berlumba sesama sendiri dan mengangkat tayar hadapan (wheelie).

“Menyedari kehadiran pihak polis, mereka segera melarikan diri, namun kita berjaya menahan empat lelaki yang berlumba sebelum itu,” katanya ketika dihubungi.

Abd Razak berkata empat penunggang itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Manakala empat buah motosikal disita mengikut Seksyen 64 akta sama.

Katanya lagi, pihaknya turut mengeluarkan 30 saman membabitkan pelbagai kesalahan seperti ubah suai aksesori , tiada cermin sisi dan nombor pendaftaran.