JOHOR BAHRU: Hentakan di kepala dengan objek tumpul dan keras dipercayai menjadi punca kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun akibat didera di Senggarang, Batu Pahat pada Isnin.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hentakan tersebut menyebabkan kecederaan serius sehingga membawa maut dan perkara itu dimaklumkan hasil daripada bedah siasat yang teliti dilakukan pakar Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.

"Sebab kematian adalah akibat hentakan benda keras di kepala. Walau bagaimanapun, terdapat juga kesan calar dan kesan gigitan.

"Terima kasih kepada pihak doktor yang banyak membantu pihak polis dalam siasatan. Insya-ALLAH siasatan kita teruskan untuk dapatkan maklumat terperinci hasil bedah siasat yang dibuat pihak doktor. Buat masa ini, kita masih menunggu laporan (lengkap) daripada doktor pakar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Lantikan Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Suksis) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Khamis.

Pada Isnin lalu, mangsa yang dikenali sebagai Lokman dilaporkan telah meninggal dunia selepas tiga hari dirujuk ke HSI akibat pengsan di rumahnya di Senggarang.

Hasil siasatan awal mendapati kematian kanak-kanak itu akibat didera dengan terdapat pelbagai kesan kecederaan baharu dan lama di seluruh tubuh badannya.

Antara kecederaan yang dapat dilihat adalah kesan dicucuh api atau benda panas di seluruh badan mangsa termasuk di kemaluan dan digigit di telinga.

Sehubungan itu, lima suspek telah ditahan polis termasuk kakak mangsa dan suami serta tiga rakan kepada wanita berkenaan untuk siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, setakat ini, polis telah memanggil 10 individu terdiri daripada ahli keluarga dan beberapa individu untuk siasatan.

"Kita juga akan memanggil lebih ramai individu untuk membantu siasatan. Selain itu, tempoh tahanan reman terhadap lima suspek yang berakhir Sabtu ini akan disambung sehingga siasatan selesai," katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan masyarakat awam agar menggembleng tenaga dan bersikap peka terhadap kesejahteraan kanak-kanak yang berada di kejiranan mereka.

Katanya, sikap ambil tahu dan melaporkan kepada pihak berkuasa berhubung sebarang salah laku yang berlaku boleh mengelakkan daripada kejadian penderaan berulang pada masa depan. - Sinar Harian