KUALA LUMPUR: Kerajaan disarankan menangguhkan kemasukan pelancong-pelancong dari China sehingga penularan kes COVID-19 di negara berkenaan menunjukkan trend penurunan.

Ia susulan kerajaan China mengumumkan pembukaan semula pintu sempadan bermula 8 Januari ini, serta memansuhkan peraturan kuarantin bagi membendung jangkitan penyakit tersebut.

Pakar Pengurusan Risiko Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Shamsul Bahari Shamsudin berkata data-data terkini menunjukan penularan jangkitan varian Omicron BF.7 mampu bermutasi dengan pantas dan gagal dikekang oleh imunisasi sedia ada.

"Jangan sudah terhantuk baru tengadah, ingat.

"Sektor ekonomi, pelancongan dan industri akan turut menguncup, pelaburan dan saham akan jatuh sekiranya berlaku semula gelombang jangkitan dan sudah pasti akan memberikan impak yang sangat-sangat signifikan terhadap kualiti kesihatan dan kehidupan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam masa yang sama, Shamsul Bahari mengesyorkan agar kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) dan kementerian berkaitan menyediakan prosedur kemasukan baharu bagi semua pelancong atau pelawat dari China, atau mana-mana negara yang mencatatkan kes jangkitan harian yang tinggi. 

Ujarnya, langkah berkenaan perlu dilaksanakan segera dalam usaha mencegah penularan jangkitan kes di Malaysia.

Selain itu, beliau turut mencadangkan pelaksanaan semula dan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) kendiri yang lebih ketat di laluan masuk sempadan negara.

"Kementerian juga perlu menghasilkan atau mencari sumber alternatif vaksinasi baharu yang lebih efektif.

"Meningkatkan semula kesedaran awam terhadap risiko penularan jangkitan COVID-19 melalui media-media massa," katanya lagi.

Shamsul Bahari menambah kerajaan perlu belajar daripada pengalaman dua tahun menghadapi pandemik COVID-19.